Home Ekonomi Usahawan tidak perlu bimbang, kerajaan urus ekonomi dengan baik

Usahawan tidak perlu bimbang, kerajaan urus ekonomi dengan baik

Datuk Seri Rusli Zaman

PUTRAJAYA – Golongan usahawan dinasihat agar tidak bimbang terhadap kedudukan ekonomi negara kerana ia diurus dengan baik oleh kerajaan.

Penasihat Gerakan Media kepada Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Seri Rusli Zaman berkata, meskipun sekarang ini berlaku kelembapan ekonomi, namun langkah drastik yang diambil oleh kerajaan seperti melaksanakan rasionalisasi subsidi telah dapat menstabilkan keadaan itu.

“Kita ambil langkah meyakinkan golongan usahawan ini agar tidak bimbang dengan kedudukan ekonomi negara.

“Kita jumpa komuniti perniagaan masyarakat Cina, bagi penjelasan macam mana kita kawal ekonomi walaupun sekarang ini kita berada dalam kedaan ekonomi yang lembap, tapi kita masih berada dalam kedudukan yang kukuh,” katanya.

Beliau ditemui MalaysiaGazette pada program Jelajah Memahami Kedudukan Ekonomi Negara Yang Sebenar bersama masyarakat Tiong Hua di sini malam tadi.

Menurut Rusli, Malaysia tidak perlu mengambil langkah menaikkan harga minyak seperti dilakukan Arab Saudi untuk mengawal ekonomi.

Sebaliknya, kerajaan membuat sesuatu keputusan dengan melihat implikasinya terlebih dahulu kepada rakyat, sekali gus mengawal ekonomi dengan langkah yang bijaksana.

“Benda-benda macam inilah kita nak terangkan kerana kita tidak mahu mereka dapat maklumat daripada pihak-pihak lain.

“Kita tak nak mereka ada ekspresi yang buruk terhadap kerajaan. Mereka kena memahami kenapa sesuatu keputusan itu perlu dibuat,” ujarnya.

Mereka yang hadir pada program tersebut mendengar penerangan yang disampaikan oleh Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan, Datuk Lokman Noor Adam.

Program seumpama itu sebelum ini dibuat di lebih 30 buah agensi kerajaan termasuk pertubuhan politik serta badan bukan kerajaan (NGO). – MalaysiaGazette