Home Nasional Jalan sehala Cameron Highlands dilanjutkan hingga 17 Mei

Jalan sehala Cameron Highlands dilanjutkan hingga 17 Mei

KUALA LUMPUR – Laluan sehala yang dilaksanakan di dua lokasi tumpuan utama di Pekan Brinchang dekat Cameron Highlands dilanjutkan sehingga 17 Mei depan.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A. Hamid berkata, ia bertujuan bagi mendapatkan kajian terperinci mengenai keberkesanan dan reaksi masyarakat terhadap pelaksanaan laluan sehala ini.

Tambah beliau, pelaksanaan laluan sehala ini merupakan titah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang meminta jabatan berkaitan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kerja Raya mencari jalan penyelesaian.

“Tuanku telah berkenan melawat daerah ini pada 15 Feb lepas sebelum menitahkan  membuat kajian semula lalu lintas di kesemua pekan utama di Cameron Highlands iaitu di Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang bagi keselesaan semua,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Sebelum ini, laluan sehala membabitkan laluan dari KM64 hadapan Hotel Iris menuju ke Pekan Brinchang dan KM65 berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Cameron Highlands menuju ke Tanah Rata dilaksanakan di peringkat percubaan selama sebulan bermula 17 Mac hingga 16 April lepas.

Hasadid berkata, pemerhatian berkala dijalankan PDRM sepanjang tempoh percubaan ini terutama pada waktu cuti iaitu kadar kesesakan dapat dikurangkan dari 90 minit ke 45 minit.

“Kesesakan yang berlaku juga hanya satu arah sahaja iaitu di laluan Tanah Rata ke Kea Farm, tidak seperti sebelum ini kesesakan di kedua-dua arah kecuali pada waktu puncak manakala pada hari minggu lalu lintas seperti biasa tiada kesesakan berlaku,” katanya.

Katanya, satu daripada punca kesesakan lalu lintas adalah sikap penduduk dan pelancong yang bertindak meletakkan kenderaan di bahu jalan.

“Ini menyebabkan halangan pada kenderaan lain dan mengganggu aliran trafik dan pihak kami menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya terhadap kesalahan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama serta sokongan penduduk setempat agar menyokong segala usaha yang dijalankan agensi terlibat dalam mencari jalan terbaik menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Cameron Highlands.

“Saya sangat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (REACH), R. Ramashy krishnan baru-baru ini yang menyatakan Pemangku Raja Pahang tidak mengambil kira kesusahan penduduk dan peniaga di sini sedangkan Tuanku sangat prihatin terhadap rakyat.

“Malah tindakan beliau (Ramakrishnan) yang membuat bantahan lalu lintas hari ini berunsur kepentingan peribadi tanpa mengambil kira pendapat majoriti pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette