KUALA LUMPUR – Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA) menyeru pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memberi ruang kepada calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU-14).
Presidennya, Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, hasrat itu disuarakan oleh perwakilan kongres berkenaan yang mengemukakan usul sekurang-kurangnya mahu satu kerusi parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada KIMMA.
“Sudah tiba masanya KIMMA yang telah berdiri bersama UMNO dan BN sejak 40 tahun dulu dan mempunyai seramai 174,000 ahli berjuang bersama-sama membangunkan negara.
“Ini bukan hasrat saya tetapi perwakilan dan akar umbi yang mahu supaya mereka diberikan tempat untuk bertanding dalam PRU-14 nanti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Jawatankuasa KIMMA bagi sesi 2017-2020 di sini hari ini.
Menurut Syed Ibrahim, usul perwakilan itu telah dibawa ke pengetahuan Datuk Seri Najib Razak menerusi memorandum dan hanya menunggu keputusan Perdan Menteri.
Terdahulu, pada majlis berkenaan Syed Ibrahim mengumumkan keputusan pemilihan barisan pucuk kepemimpinan Kongres KIMMA yang baharu.
Pemilihan itu telah berlangsung sebelum ini di Ideal Convention Centre Shah Alam, Selangor yang dirasmikan oleh Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, perwakilan turut memohon kepada Perdana Menteri supaya diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi senator dan Ahli Dewan Negara kepada KIMMA.
Katanya, perwakilan juga memohon permintaan tambahan lain iaitu agar diberikan seorang pegawai khas dalam kalangan India Muslim untuk diletakkan di Jabatan Perdana Menteri supaya masalah yang dihadapi oleh masyarakat mereka mendapat perhatian.
“Kita mahu menjaga hak masyarakat India Muslim di negara ini serta keperluan mereka agar dapat dipandang oleh pemimpin atasan,” ujarnya. – MalaysiaGazette