Home Politik Melampau bila tuduh ribut ‘bala’ kepada Pas

Melampau bila tuduh ribut ‘bala’ kepada Pas

Pengerusi Gerakan Akar Umbi Umno Malaysia (Gaum), Datuk Zulkarnain Mahdar

KUALA LUMPUR – Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (Gaum) menyifatkan tindakan pihak tertentu yang mengaitkan ribut melanda khemah Muktamar Pas di Kedah sebagai bala atau bencana daripada Allah SWT kepada Pas sebagai satu tuduhan keterlaluan.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, semua pihak diingatkan agar melihat kejadian berkenaan sebagai satu takdir dan ketentuan Allah SWT yang mempunyai hikmah yang tersembunyi.

“Terdapat pandangan sebegini yang jelas kelihatan dalam ruangan komen aplikasi portal berita Internet, Facebook dan WhatsApp menunjukkan orang sebegini amat melampau serta berfikiran sempit.

“Sepatutnya dalam keadaan sebegini seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik berkongsi kesedihan dan mendoakan agar mangsa cepat sembuh dan bukannya mengaitkan pula kejadian tersebut sebagai bala bencana daripada Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sekurang-kurangnya 18 cedera dalam insiden ribut yang berlaku pada hari pertama Muktamar Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut dekat sini kira-kira jam 7 malam, semalam.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah, 13 mangsa dibawa ke hospital manakala lima lagi dirawat di tempat kejadian. Dua daripada mangsa juga patah kaki.

Muktamar yang berlangsung semalam bertukar kecoh apabila ribut mengakibatkan beberapa khemah diterbangkan angin sejauh beberapa meter dan merosakkan gerai di sekitar pekarangan kompleks berkenaan.

Mengulas lanjut, Zulkarnain juga menegaskan kejadian sama pernah melanda Mekah ketika umat Islam mengerjakan ibadah haji pada tahun 2015.

“Ribut pasir juga pernah melanda Makkah ketika musim haji. Adakah kita boleh mengaitkan kejadian itu dengan bala daripada Allah?”soalnya.

“Meskipun berlainan ideologi politik namun Gaum mendoakan agar kesemua mangsa diberikan kekuatan serta sembuh dengan cepat dan Muktamar Pas yang ke-63 ini juga akan berjalan dengan lancar dan berjaya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette