Perdana Menteri berkata, langkah itu merupakan persediaan awal kerajaan dalam memastikan pengurangan pekerjaan akibat perkembangan teknologi pada masa depan tidak memberi kesan buruk kepada negara.
Datuk Seri Najib berkata, lima lonjakan itu ialah mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pekerja dan golongan mudah terjejas; mengoptimumkan modal insan dan memperkukuh perancangan dasar dan sistem gaji; mengupayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diterajui industri; memperkasakan agensi penyedia perkhidmatan pekerjaan awam dan memperluaskan perlindungan keselamatan sosial.
Jelas beliau, dalam usaha memperluaskan perlindungan keselamatan sosial, kerajaan akan mengubal akta Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) bagi memastikan kira-kia 6.5 juta pekerja swasta di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 terbela dan dilindungi.
“Kerajaan sedang memperhalusi Rang Undang-Undang SIP ini bagi pembentangan pada sesi persidangan Parlimen akan datang sebelum ia dilaksanakan mulai Januari 2018 dan pemberian faedah kewangan dijangkakan mulai Januari 2019.
“Pelan berjangka panjang ini bagi memastikan pekerja mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara hidup keluarga dalam tempoh tertentu sementara menunggu kerja baharu,” kata.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2017 peringkat Kebangsaan bertemakan Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Katanya, mana-mana negara, termasuk Malaysia, tidak dapat mengelak perkembangan teknologi yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan ia memerlukan tindakan drastik dalam menghadapinya.
Sementara itu, Najib berkata, kajian Forum Ekonomi Sedunia (WEF) mendapati Revolusi Perindustrian Keempat yang meliputi revolusi perindustrian sehingga separa industri, pekomputeran dan kini fasa industri teknologi maklumat dan robotik akan memberi kesan signifikan kepada pasaran buruh dan pekerjaan.
“Ia termasuklah pewujudan dan kehilangan pekerjaan, peningkatan produktiviti buruh dan jurang kemahiran yang semakin meluas,” ujarnya sambil menambah kerajaan serius melihat serius perkembangan itu. – MalaysiaGazatte