Home Utama Pas ramal PRU-14 September

Pas ramal PRU-14 September

Mustafa Ali

ALOR SETAR – Pas meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diadakan seawal September ini.

Ini berdasarkan beberapa petunjuk seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melalui proses akhir persempadanan semula yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Menurut Ketua Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali, tempoh akhir PRU13 ialah pada Jun 2018 dan tidak mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memanggil pilihan raya pada tahun depan.

Pas, katanya, sudah membuat persiapan dan bersedia bila-bila masa menghadapi pilihan raya.

“Tentulah kita semua sudah bersiap kerana dalam kepala perwakilan dan pemerhai hari ini pun ialah pilihan raya,” katanya pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas ke-63 di sini, hari ini.

Menurut Mustafa, Jabatan Pilihanraya Pas Pusat (JPP) telah mengadakan lawatan kerja ke semua negeri berbincang dengan pimpinan untuk membuat persiapan.

“Kita dapat input dari mereka, waktu ini, seluruh negeri di Malaysia sudah pun melancarkan jentera pilihan raya masing-masing, bahkan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pun sudah melancarkan jenteranya. – MalaysiaGazette