KUALA LUMPUR – Aktres jelita, Fazura mendedahkan dia perlu meluangkan banyak masa bersama pelakon, Fattah Amin sepanjang di set pengambaran drama terbaharu, Hero Seorang Cinderella.
Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Sharifuddin, 33, berkata, ia bertujuan untuk membina keserasian mereka berdua dalam menjayakan watak masing-masing bagi drama yang diadaptasi dari novel itu.
“Masa hari pertama penggambaran, saya nampak dia gementar. Saya pun gementar juga. Jadi saya pun cakap pada dia, ‘lepas ni kita kena datinglah’.
“Jadi, sepanjang di set kami selalu luangkan masa bersama, makan bersama dan berbual. Sebab dengan cara itu mudah untuk kami berdua bina keserasian untuk watak masing-masing. Sebelum ini pun, ketika bergandingan dengan Keith Foo dalam filem Langit Cinta, saya buat perkara yang sama,” katanya kepada pihak media ketika ditemui pada majlis pelancaran muzik video karaoke lagu Nothing Like Pag Ibig berkolaborasi bersama penyanyi popular Filipina, Jason Dy di sini semalam.
Bintang realiti E! Facing Up to Fazura itu bagaimanapun menegaskan kemesraannya dengan aktor tinggi lampai itu hanya sekadar di lokasi penggambaran.
Pun begitu, dia terbuka dan bersedia sekiranya timbul gosip mengenai hubungan mereka malah menganggap ia satu perkara biasa.
“Kami hanya luang masa bersama sepanjang di lokasi saja dan apabila selesai penggambaran masing-masing buat hal sendiri. Kalau ada gosip tentang kami, bagi saya itu perkara biasa,” tuturnya sambil tersenyum.
Dalam pada itu, Fazura memuji lakonan Fattah sudah banyak peningkatan dan tidak lagi ‘kayu’sepertimana yang pernah dilabel oleh sesetengah pihak terhadap pelakon lelaki itu, ketika di awal kemunculannya dalam industri lakonan.
Katanya, Fattah mempunyai bakat besar cuma mungkin selama ini dia belum betul-betul berpeluang membuktikan kredibilitinya.- MalaysiaGazette