PUTRAJAYA – Selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil ke Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) hari ini tiba giliran Lim Kit Siang pula memberikan keterangan berhubung skandal tukaran wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1990-an.
PPengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah itu hadir bersama peguamnya, Gobind Singh Deo di lobi KKM kira-kira jam 2.15 petang tadi dengan diiringi polis untuk menemui Pasukan Petugas Khas Bahagaian Pelaburan Strategik yang terletak di aras 5 pejabat kerajaan itu.
Ketika ditemui pemberita selepas memberikan keterangan hampir 45 minit itu memberitahu, beliau hanya disoal berhubung ucapannya dalam sidang Parlimen antara tahun 1993 dan tahun 1994 berkenaan kerugian dalam urusniaga tersebut.
“Saya tidak pernah terlibat dalam urus niaga tukaran wang asing BNM pada 1990-an dan ia hanya maklumat awam sebagaimana yang terkandung dalam ucapan saya di Parlimen mengenai pada 1993 dan 1994.
“Dalam ucapan itu, saya hanya gesa tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kerugian luar biasa dalam perdagangan mata wang oleh BNM,” katanya.
Pada 20 April lalu, Anwar yang juga bekas Menteri Kewangan dipanggil untuk memberi keterangan kepada Pasukan Petugas Khas dalam aktiviti spekulasi mata wang asing pada 1990-an.
Dalam sesi soal siasat berkenaan, Anwar mengesahkan negara kerugian antara RM15 bilion hingga RM30 bilion dalam skandal tukaran wang asing BNM pada 1990-an.
Mengulas lanjut, Kit Siang juga berkata, Pasukan Petugas Khas memanggil ‘orang yang salah’ dalam skandal kewangan perdagangan mata asing oleh BNM itu.
“Sepatutnya dia panggil pegawai tertinggi kerajaan, menteri yang bertanggungjawab termasuk Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu merupakan menteri kanan dan Datuk Seri Mustapa Mohamed,” katanya lagi.- MalaysiaGazette