Home Dunia MH370: Penyelesaian lebih ekonomi sambung semula pencarian pesawat

MH370: Penyelesaian lebih ekonomi sambung semula pencarian pesawat

Seorang pengunjung melihat lukisan berkenaan kehilangan MH370 yang terdapat di pameran semperna memperingati tahun ke tiga kehilangan pesawat MH370 di Publika, Solaris Dutamas, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2017.

SYDNEY – Seorang pakar ekonomi di sebuah universiti yang khuatir terhadap penggantungan pencarian pesawat MH370 mengemukakan idea yang inovatif bagi membantu memulakan semula kempen pencarian pesawat itu.

Profesor Luke Connelly dari University of Queensland berkata, habuan ‘meningkat sehingga A$100 juta’ mungkin diperlukan sebagai insentif untuk syarikat-syarikat besar melabur dalam pencarian itu, lapor news.com.au.

Beliau yang menulis dalam Aviation Week menyatakan salah satu pilihan untuk membiayai peruntukan kewangan yang lebih besar ialah dengan memberi habuan menerusi taja jamin oleh syarikat insurans – yang akan dibayar jika menjumpai pesawat atau kotak hitam.

“Hadiah insurans bukannya luar biasa seperti yang difikirkan.

“Adalah rutin menggunakan ‘hole in one’ dan hadiah lain dalam sukan,” katanya.

Pencarian pesawat MH370 berakhir pada Januari lalu selepas kontrakrtor Fugro menamatkan pencarian di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi, proses yang mengambil masa selama dua tahun.

Zon itu diambil kira sebagai lokasi bangkai pesawat milik Malaysia Airlines berada berdasarkan beberapa isyarat satelit daripada pesawat Boeing, B777 itu.

Bagaimanapun, selepas itu, analisis dan model hanyutan mengenalpasti lokasi lain sebagai kawasan di mana bangkai pesawat itu berada, iaitu di utara zon pencarian asal.

Walaupun laporan Organisasi Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia menunjukkan kawasan baharu, kerajaan Malaysia, Australia dan China telah menolak untuk membiayai pencarian lain.

Connelly berkata, pilihan lain ialah menyediakan ‘menu hadiah’ bergantung kepada nilai penemuan bahagian pesawat MH370.

“Jika anda mempunyai menu kepada mereka yang menemui bahagian pesawat yang bernilai rendah akan manjadikannya sebagai insentif untuk mereka menyerahkannya (bahagian pesawat) dan ia akan mewujudkan persaingan dalam kalangan mereka mencari badan pesawat dan kotak hitam,” katanya.

Kelebihan lain habuan penemuan pesawat MH370 itu ialah meningkatkan inovasi pencarian dan pelaburan dalam teknologi pencarian.

“Ada syarikat yang mungkin tertarik untuk melabur dalam peralatan yang membolehkan mereka melakukan pencarian, mungkin melakukan usahasama dengan firma-firma pakar yang membekalkan peralatan pengimbas dasar laut,” kata Connelly.

“Sebagai contoh, kapal baharu mungkin sesuai dengan peralatan pengimbas dasar laut dan peralatan pengesan terkini berbanding peralatan biasa yang diperlukan untuk belayar.

“Pembekal pihak ketiga teknologi seperti ini – yang mana pasarannya terhad – sebagai contoh, boleh bekerjasama dengan pembuat kapal untuk meluaskan pasaran mereka, mungkin dengan perjanjian perkongsian keuntungan,”.

Kehilangan pesawat B777 itu kekal menjadi salah satu misteri dunia penerbangan dengan tiada pejelasan rasmi dikeluarkan terhadap perubahan mendadak laluan penerbangan ke selatan Lautan Hindi.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu membawa 239 penumpang, termasuk anak kapal.

Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester membayangkan pencarian hanya akan disambung jika terdapat bukti baharu yang boleh dipercayai di mana pesawat tersebut berada. – Agensi