Home Utama Sarawak terima 3 Timbalan Ketua Menteri

Sarawak terima 3 Timbalan Ketua Menteri

Abang Johari Openg

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg hari ini membuat rombakan dalam senarai Kabinet negeri itu.

Dalam rombakan itu, Abang Openg melantik Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang baharu.

Sementara Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri James Jemut Masing pula dikekalkan sebagai Timbalan Ketua Menteri.

Pengumuman itu dibuat Abang Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, sebentar tadi.

“Empat daripada anggota Kabinet Sarawak ini iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Talib Zulpilip, Abdullah Saidol dan Snowdan Lawan akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, di Astana Negeri, esok,” kata Abang Openg.

Dengan lantikan itu, jawatan Timbalan Ketua Menteri kini menjadi tiga kesemuanya.

Semua lantikan itu berkuatkuasa bermula esok.

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Datuk Talip Zulpilip dinaikkan pangkat sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri.

Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol dinaikkan pangkat apabila dilantik sebagai Menteri Muda bersama seorang muka baharu, Snowdan Lawan.

Muka lama yang berjawatan Menteri dan Menteri Muda dalam barisan Kabinet Allahyarham Tan Sri Adenan Satem sebelum ini turut dikekalkan.

Mereka ialah Datuk Seri Micheal Manyin Jawong; Datuk Seri Wong Soon Koh; Datuk Fatimah Abdullah; Datuk Dr Sim Kui Hian dan Datuk Dr Stephen Rundi Utom untuk jawatan Menteri.

Menteri Muda yang dikekalkan ialah Datuk John Sikie Tayai; Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; Datuk Len Talif Salleh; Datuk Roland Sagah Wee Inn; Dr Abdul Rahman Ismail; Datuk Julaihi Narawi; Datuk Dr Jerip Susil; Datuk Mohd Naroden Majais; Malcolm Mussem Lamoh; Dr Annuar Rapaee; Datuk Francis Harden Hollis; Rosey Yunus dan Datuk Dr Penguang Manggil.

Abang Johari berkata, barisan Kabinet serta Kementerian baharu yang diwujudkan dalam pentadbirannya itu direstui Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, pada pertemuan yang diadakan, pagi tadi.

BERIKUT ADALAH SENARAI MENTERI KABINET SARAWAK MEI 2017

Ketua Menteri, Menteri Kewangan dan Perancangan Ekonomi, Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli.  -Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Timbalan Ketua Menteri; Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Hak Adat dan Pembangunan Wilayah – Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Timbalan Ketua Menteri; Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan – Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Timbalan Ketua Menteri; Menteri Perindustrian dan Pembangunan Usahawan – Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Dagang – Datuk Seri Wong Soon Koh.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi – Datuk Seri Micheal Manyin Jawong.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak – Datuk Fatimah Abdullah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan – Datuk Dr Sim Kui Hian.

Menteri Elektrik Luar Bandar dan Bekalan Air – Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan,Belia dan Sukan – Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Talib Zulpilip. -MalaysiaGazette