Home Politik Sesiapapun boleh tawar diri jadi calon di Kota Belud – Abdul Rahman

Sesiapapun boleh tawar diri jadi calon di Kota Belud – Abdul Rahman

Abdul Rahman Dahlan
KOTA BELUD – Sesiapapun boleh menawarkan diri sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kota Belud pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, namun amalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan pemilihan calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Tradisi UMNO dan Barisan Nasional ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri (selaku presiden UMNO dan pengerusi BN) dan ketua menteri Sabah sebagai pengerusi badan perhubungan UMNO negeri untuk menentukan siapa calon,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan van dan wang tunai untuk masjid di Kota Belud di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang secara terbuka menyatakan kesediaan kembali aktif dalam politik dan turut menyatakan minatnya untuk bertanding kerusi DUN dan Parlimen di Kota Belud.

“Bagi saya, saya berpandangan terbuka. Semua boleh menyatakan (hasrat mereka jadi calon) … oleh sebab Tan Sri (Pandikar) sudah menyatakan demikian, kita serahkan kepada perdana menteri dan ketua menteri Sabah untuk menentukannya,” katanya.

– BERNAMA