Home Seni Hidup Anak tidak suka makanan Kemboja, Allan buka restoran

Anak tidak suka makanan Kemboja, Allan buka restoran

Bangga..Allan di The Gulai Restaurant miliknya, restoran masakan Melayu asli di Phnom Penh

PHNOM PENH- Hanya kerana anak-anak beliau sukar untuk menerima makanan Kemboja, lelaki ini sanggup untuk membuka sebuah restoran makanan Melayu yang diberi nama The Gulai Restaurant di negara berkenaan.

Menurut lelaki yang mahu dikenali sebagai Allan, makanan Kemboja yang manis memang sukar diterima oleh rakyat Malaysia dan rungutan anak-anaknya itu telah memberi idea kepada beliau untuk mengusahakan restoran sendiri.

Meskipun terpaksa membuat pelaburan menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat namun Allan tetap meneruskan usahanya.

Tambahan pula menurut lelaki berasal dari Pahang itu, tiada satu pun restoran makanan asli Melayu yang dijual di Phnom Penh.

“Kebanyakan restoran halal di sini menjual makanan Kemboja atau pun sedikit pengaruh Thailand namun mereka mengikut citarasa orang negara ini yang suka rasa manis.

“Kami di The Gulai Restaurant memasak mengikut siapa pelanggan yang membuat pesanan ketika itu. Jika orang Malaysia, kami tidak masukkan gula tetapi jika orang Kemboja wajib dimasukkan dua sudu gula dalam setiap masakan,” katanya kepada Malaysia Gazette di dalam satu pertemuan di sini baru-baru ini.

Menurut Allan, kebanyakan pelanggannya adalah pelancong Malaysia dan pekerja Malaysia yang bekerja di sana.

Malah jangan terkejut jika anda mungkin sedang menikmati makan tengahari di sebelah seorang menteri dari Malaysia atau Kemboja kerana restoran tersebut memang terkenal di Phnom Penh.

Tambahnya, sekiranya menerima tempahan berkumpulan, beliau akan menyediakan hidangan bufet yang turut boleh dinikmati oleh pelanggan yang ‘walk-in’ namun jika tidak, setiap pelanggan ditawarkan hidangan secara ala-carte dan set pada harga yang berpatutan.

Menikmati sendiri masakan The Gulai Restaurant, memang terasa keenakannya dan keaslian masakan Malaysia. Tiada satu pun yang kurang tetapi sekiranya anda ingin membuat pesanan set makanan, perlu diingat bahawa hidangannya dalam kuantiti yang besar dan boleh dinikmati berdua bagi satu set.

Begitu juga hidangan ala-carte seperti nasi atau mi goreng, ianya hadir dalam kuantiti yang cukup besar dan padat dengan rencah-rencah seperti ayam, daging, telur dan sayur-sayuran.

Ketika ditanya mengenai keberaniannya untuk membuka restoran di negara orang sedangkan beliau sendiri masih berkhidmat sebagai akauntan di sebuah syarikat korporat Malaysia di Phnom Penh sejak tujuh tahun lalu, Allan berkata, memasak adalah salah satu daripada minatnya.

Meskipun tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang masakan, namun minat yang mendalam dan ilmu yang dicurahkan oleh kakaknya mampu diterjemahkan pada hidangan-hidangan sedap di The Gulai Restaurant.

Pengalaman sebagai seorang akauntan di sebuah hotel lima bintang di Langkawi juga digunakan sepenuhnya semasa membuka The Gulai Restaurant terutama di dalam membuat pengiraan kos dan penyediaan menu.

Allan menunjukkan kepakarannya di dapur

Kepakaran hasil pengalaman luas itu membuatkan beliau sendiri mengajar pekerja-pekerjanya termasuk warga Kemboja supaya mampu memasak masakan Melayu mengikut kehendak dan citarasa orang Malaysia.

“Apa susah, kalau tak tahu kita Google sahaja resepi,” katanya sambil bergurau.

Gulai-siput sedut

Jadi jika anda berkunjung ke Phnom Penh, jangan lupa singgah di The Gulai Restaurant dan untuk mendapatkan alamat penuh atau tunjuk arah ke restoran tersebut, anda boleh melawati laman Facebook The Gulai Restaurant.

Gulai-buffet

Antara makanan yang dihidangkan adalah gulai ayam, kari ikan,gulai lemak siput sedut, nasi ayam serta masakan panas seperti nasi dan mi goreng.- MalaysiaGazette