Home Akhbar Cina Bandar Malaysia: Pelaburan China tidak terjejas

Bandar Malaysia: Pelaburan China tidak terjejas

Lakaran artis Bandar Malaysia

PETALING JAYA – Walaupun wujud faktor tidak menentu dalam pelaburan China di Bandar Malaysia, tetapi menteri dan penganalisis ekonomi menafikan kewujudan petanda bahawa Beijing akan menarik keluar pelabur-pelaburnya dari Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kegagalan firma China untuk mengambil alih 60 peratus kepentingan Bandar Malaysia adalah tindakan proaktif daripada Kuala Lumpur.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, tindakan itu juga tidak kena mengena dengan faktor luaran.

Abdul Rahman menyatakan perkara itu pada ketika timbul laporan media asing bahawa China yang enggan meluluskan firmanya iaitu China Railway Engineering Corp (CREC) untuk mengambil alih 60 peratus kepentingan dalam Bandar Malaysia.

Abdul Rahman meminta supaya tidak membuat spekulasi apabila beliau ditanya mengenai ura-ura bahawa kegagalan pengambilalihan kepentingan adalah kerana China mahu “memberi tekanan” supaya Malaysia memberi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura kepada firma Beijing.

“Daripada banyak pelaburan China di Malaysia, Bandar Malaysia merupakan projek yang paling diminati Beijing.

“China sebuah negara yang kaya, mereka mungkin mempunyai alasan sendiri apabila gagal melakukan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan. Saya tidak berpendapat bahawa China tiada duit,” katanya.

Ditanya tentang ura-ura bahawa Malaysia gagal memenuhi senarai perolehan yang diminta China, Abdul Rahman berkata, beliau tidak jelas akan hal itu.

Penganalisis ekonomi, Peck Boon Soon ketika dihubungi China Press pula berkata, perkembangan terbaru tidak menjejaskan pelaburan Beijing di negara ini.

“Walaupun saya tidak tahu apa yang berlaku dalam Bandar Malaysia, tetapi China tetap menitik berat inisiatif One Belt One Road, projek yang dihubungkan dengan inisiatif ini tidak akan menerima kesan,” katanya.

Boon Soon bagaimanapun mengakui terdapat pelbagai spekulasi di pasaran mengenai kegagalan pengambilalihan firma China terhadap kepentingan Bandar Malaysia.

“Ada yang cakap ia berpunca daripada kawalan modal oleh kerajaan China dan juga kegagalan dua pihak untuk mencapai kesepakatan.

“Ada juga yang cakap kerajaan Malaysia melihat pengambilalihan itu bertentangan dengan kepentingan nasional,” katanya.

Kolumnis Nanyang Siang Pau, Dr, Chai Wei Yan pula berkata, kegagalan pengambilalihan kepentingan adalah jauh lebih rumit daripada yang disangkakan.

“Adalah terlalu mudah jika apa yang berlaku hanya disimpulkan sebagai tiga faktor ringkas: Malaysia tiada duit, China enggan lulus dan projek kereta api yang tergendala.” – MalaysiaGazette