TANZANIA – Lebih daripada 30 orang yang kebanyakan kanak-kanak sekolah terbunuh dalam kemalangan bas di utara negara ini.
Kemalangan berlaku apabila bas yang membawa kanak-kanak itu terjunam di dalam gaung curam berhampiran bandar Karatu.
Beberapa orang lagi dilaporkan cedera.
Pasukan penyelamat sedang mengeluarkan mangsa dan mayat dari kenderaan tersebut.
Mereka merupakan murid-murid tahun akhir sekolah Lucky Vincent di Arusha- dipercayai berusia antara 12 dan 14 – sedang dalam perjalanan untuk mengambil peperiksaan di sekolah lain.
Dua orang guru dan pemandu juga terbunuh.
Presiden John Magufuli berkata, kemalangan itu adalah satu “tragedi negara”.
“Kemalangan ini memadamkan impian kanak-kanak ini yang telah bersedia untuk berkhidmat kepada negara, ia adalah kehilangan yang amat besar bagi keluarga yang terlibat dan seluruh negara,” katanya.
“Kemalangan itu berlaku ketika bas itu sedang menuruni bukit yang curam dalam keadaan hujan.
“Kami masih menyiasat kejadian itu untuk menentukan sama ada ia disebabkan oleh kecacatan mekanikal atau kesilapan manusia di pihak pemandu,” kata pegawai polis, Charles Mkumbo. – MalaysiaGazette