KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka tinggi minggu depan, mengikuti prestasi pendasar pasaran tunai yang diunjur kukuh.
Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, indeks utama dijangka bergerak tinggi ke paras 1,770 mata, disokong oleh perkembangan positif ekonomi tempatan dan prestasi kukuh Wall Street.
“FBM KLCI kukuh dan mengekalkan aliran menaik sebanyak 7.7 peratus setakat ini pada tahun ini, meskipun pasaran mengalami pembetulan,” katanya.
Nazri berkata, perkembangan positif ekonomi tempatan juga akan mengimbangi kelemahan harga pasaran berikutan pengumuman pembatalan perjanjian penjualan saham sebanyak 60 peratus bagi Bandar Malaysia.
“Pasaran tempatan dijangka menerima baik kenyataan Pengerusi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Tan Sri Irwan Serigar Abdullah yang mengesahkan bahawa projek Bandar Malaysia akan dilaksanakan selepas pembatalan perjanjian bernilai RM7.41 bilion itu,” katanya.
Bagi asas perbandingan Jumaat ke Jumaat, Mei 2017 naik 4.5 mata kepada 1,763.5, Jun 2017 menambah 7.5 mata kepada 1,762, September 2017 menokok 10 mata kepada 1,761 manakala Disember 2017 kekal 1,760.5.
Jumlah dagangan bagi yang minggu singkat berikutan cuti umum, agak rendah pada 22,516 lot daripada 82,202 lot yang dicatatkan pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka susut kepada 39,275 kontrak daripada 49,079 kontrak sebelumnya.
Pasaran ditutup pada Isnin sempena Hari Pekerja. Pada Jumaat, penanda aras FBM KLCI berakhir 4.07 mata lebih tinggi pada 1,762.74. – MalaysiaGazette