Home Utama Pas senada dengan UMNO, DAP adalah musuh

Pas senada dengan UMNO, DAP adalah musuh

Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Pas senada dengan UMNO bahawa DAP adalah musuh sebenar yang perlu ditumbangkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 nanti.

Bagaimanapun Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob menegaskan parti itu tetap akan bersendirian bersama blok ketiga yang ditubuhkan untuk berhadapan dengan Pakatan Harapan yang diketuai oleh DAP.

Katanya, parti itu juga tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau UMNO dalam PRU nanti.

“DAP adalah musuh kita tetapi secara tradisi UMNO menjadi lawan politik kita sejak pilihan raya bermula dahulu lagi.

“Namun hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetap kita raikan kerana kita memperjuang hak rakyat, apa pun program kerajaan kita kena hormat demi untuk kepentingan rakyat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang meminta Pas dan UMNO mencari titik persamaan untuk berhadapan dengan musuh sebenar, DAP.

Sementara itu, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, sehingga kini, tiada fakta yang kukuh untuk membuktikan bahawa pakatan tersebut mampu untuk menawan Putrajaya.

Justeru, kata beliau, pihaknya tidak bimbang untuk berhadapan dengan gabungan DAP, PKR, PAN dan PPBM.

“Tidak ada ramalan pun mengatakan bahawa Pakatan Harapan akan menang.

“Kita lihat tiada fakta boleh menunjukkan DAP dan Pakatan Harapan akan berjaya seperti parti-parti lain,” katanya. – MalaysiaGazette