Home Politik Pemuda BN Sarawak, Pemuda PBB sambut baik rombakan kabinet

Pemuda BN Sarawak, Pemuda PBB sambut baik rombakan kabinet

KUCHING – Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyambut baik rombakan Kabinet yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, semalam.

Pengerusi Pemuda BN merangkap Ketua Pemuda PBB Datuk Seri Fadillah Yusof berkata barisan Kabinet baharu yang berkuat kuasa hari ini adalah barisan yang mantap menggabungkan pemimpin berpengalaman dengan latar belakang yang pelbagai bagi mewakili pelbagai kaum di Sarawak.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata pelantikan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan sebagai Timbalan Ketua Menteri ketiga dan penyusunan semula beberapa kementerian yang turut ditukar nama akan memperkasakan lagi pentadbiran kerajaan negeri Sarawak di bawah kepimpinan ketua menteri sekarang.

Selain itu, katanya, langkah meletakkan Kementerian Pelajaran di bawah kerajaan negeri menerusi pengwujudan Kementerian Pelajaran, Sains dan Teknologi Penyelidikan, dilihat akan memacu lagi bidang pendidikan di negeri Sarawak yang mempunyai keistimewaan tersendiri dari sudut geografi dan kepelbagaian etniknya.

“Pada masa sama, pengwujudan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-dagang selari dengan visi Abang Johari yang mahu Sarawak menuju ke arah Ekonomi Digital.

“Pemuda juga berterima kasih kepada YAB Ketua Menteri Sarawak di atas pelantikan bekas Timbalan Ketua Pemuda PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, serta pelantikan Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Snowdan Lawan sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan,”katanya.

Beliau berkata ini membuktikan keyakinan dan kepercayaan pucuk kepimpinan negeri ini terhadap keupayaan pemimpin muda di negeri ini sebagai pelapis kepimpinan negeri Sarawak pada masa akan datang.

“Malah dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Awang Tengah juga pernah menerajui kepimpinan Pemuda di Sarawak.

” Ini membuktikan parti PBB sentiasa mempunyai perancangan tersusun dalam melatih dan mengiktiraf kepimpinan Pemuda dan Pemuda juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua yang dilantik dalam Kabinet baharu ini,” katanya.

Barisan Pemuda, kata Fadillah, yakin mereka yang dilantik ini akan dapat memberi khidmat terbaik untuk membawa Sarawak ke arah pertumbuhan ekonomi yang menyeluruh seperti dijanjikan dalam manifesto Barisan Nasional Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 tahun lalu, dan seterusnya akan meletakkan Sarawak pada landasan pembangunan dalam tempoh yang lebih cepat.- MalaysiaGazette