Home Utama ‘Saya tidak spot-check kantin’ – Abdul Wahid

‘Saya tidak spot-check kantin’ – Abdul Wahid

Reaksi Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PND), Tan Sri Abdul Wahid Omar pada forum Dana Islam Antarabangsa dan Pengurusan Harta di Dewan Senat, Universiti Antarabangsa Malaysia (UIA), Gombak. foto SAFWAN MANSOR, 02 MEI 2017

GOMBAK – Tan Sri Abdul Wahid Omar menyifatkan cerita kononnya beliau kerap membuat ‘spot-check’ di kantin Maybank sehingga ramai kakitangan bank itu dikenakan tindakan hanya spekulasi sahaja.

Perkara itu didedahkan Abdul Wahid dalam satu forum di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia baru-baru ini.

Beliau yang pernah menerajui bank berkenaan mengakui pernah mendengar cerita itu secara berseloroh berkata: “Saya pun tidak tahu macam mana ia timbul. Mungkin kakitangan Maybank yang sebenarnya ‘merasai kehadiran saya di mana-mana”.

Abdul Wahid tidak menolak cerita itu mungkin ‘terkeluar’ kerana ada cerita di sebalik kisah kantin semasa beliau meneraju Telekom Malaysia (TM) dari tahun 2004 hingga tahun 2008.

Semasa menjadi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TM, Abdul Wahid terkejut apabila kakitangan syarikat utiliti itu mempunyai beberapa kali waktu makan sepanjang waktu pejabat.

“Mereka ada waktu minum pagi pada pukul 10 pagi. Masa diberikan 30 minit tetapi ada yang masuk pejabat semula lewat. Pukul 1 petang nanti keluar lagi untuk makan tengah hari dan pukul 3.30 petang, sekali lagi ke kantin untuk minum petang pula,” katanya.

Beliau yang kini dilantik sebagai Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, sebagai sebuah syarikat senaraian awam yang mahu melakukan transformasi untuk menjadi syarikat serantau yang pro pertumbuhan, amalan-amalan itu sungguh ‘mengganggu’ operasi syarikat.

Lantas, Abdul Wahid berkata, beliau bertemu dengan Kesatuan Sekerja TM untuk meminta pandangan mereka agar waktu minum petang ditiadakan.

“Pada awalnya, saya berpendapat ia akan mendapat tentangan tetapi sangkaan saya salah. Kesatuan menerima idea tersebut, malah mengalu-alukannya.

“Saya pula menawarkan jumlah hari bekerja kepada lima hari dengan perubahan waktu kerja,” katanya.

Ternyata pembaharuan yang dibuat itu mendapat hasil positif apabila TM muncul sebagai firma telekomunikasi serantau dan perniagaan dapat berkembang dengan baik.

“Saya sentiasa percaya jika kita mahu menjayakan perniagaan, mesti mendapat sokongan kuat dalam kalangan kakitangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette