PULAU PINANG – Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang dilihat tidak sehaluan dengan barisan kepimpinan DAP menyatakan keputusannya untuk meninggalkan parti tersebut sebaik sahaja terbubarnya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Yee Cheu berkata, beliau sangat kecewa dengan barisan kepimpinan dan sistem dalam DAP dan tidak akan bertanding semula atas tiket Roket.
Yee Cheu bagaimanapun masih berharap supaya diberi amanah oleh rakyat untuk memasuki semula DUN untuk berjuang mengenai pelbagai isu.
“Saya bagaimanapun tidak akan bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) atau calon yang pro-BN,” katanya kepada China Press.
Menurutnya, walaupun memerlukan platform untuk bertanding dan memasuki DUN, tetapi platform itu boleh dalam bentuk parti politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Yee Cheu berkata, beliau akan terus memperjuangkan isu-isu yang ada seperti mengehadkan seseorang menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang tidak lebih daripada dua penggal.
Yee Cheu juga akan memperjuang kepentingan komuniti transgender, hak asasi manusia dan alam sekitar yang memang sinonim dengan ADUN tersebut.
Ditanya sama ada berdepan masalah kerana menjarakkan diri dengan pemimpin DAP pada ini, Yee Cheu berkata, isu kemasyarakatan dapat diselesaikan dengan baik.
Yee Cheu menegaskan bahawa beliau tidak pernah bersalah kepada parti tetapi telah melakukan setiap perkara dengan telus.
“Saya tidak menikam dari belakang tetapi menyatakan hasrat keluar parti secara terus-terang,” katanya.