PUTRAJAYA – Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bukan satu gerakan revolusi bersifat politik.
Sebaliknya ia merupakan gerakan revolusi sosial mengikut sistem perundangan sedia ada untuk mengubah minda dan pemikiran rakyat terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, gerakan revolusi sosial ini turut mensasarkan perubahan sikap masyarakat terhadap rasuah yang bukan sahaja akan membenci aktiviti rasuah itu sendiri, sebaliknya turut membenci dan menolak perasuah.
“GERAH ini pertamanya bersifat pantas, keduanya bersifat keras. Pantas kita impikan dalam tempoh tiga tahun kita mampu melahirkan masyarakat yang berani dan merasa benci serta berani katakan tidak kepada rasuah, seterusnya membanteras rasuah bersama-sama SPRM.
“Ini yang kita mahu kerana gejala rasuah ini telah berlaku terlalu lama. Sudah menjadi kebiasaan, orang yang benci rasuah tetapi dalam masa sama dia terima dan beri rasuah.
“Ini kita tak nak. Kita mahu dia benci dan ada keberanian mengatakan tidak kepada rasuah,” kata Dzulkifli.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melancarkan GERAH di ibupejabat SPRM Putrajaya pagi tadi.
Melalui program GERAH, SPRM mengerahkan 2,000 tenaga kerjanya turun padang ke seluruh negara secara berperingkat bagi mendekati masyarakat selain menjalinkan rangkaian kerjasama dengan rakyat untuk memerangi rasuah.
Program ini akan diadakan setiap bulan pada hari Isnin pertama bagi membina sokongan padu rakyat memastikan agenda memerangi rasuah dan salah guna kuasa adalah menjadi musuh nombor satu negara.
“Kita telah agihkan tenaga SPRM ke pelbagai tempat termasuk di lapangan terbang, stesen keratapi, kita nak bertemu dengan rakyat secepat mungkin.
“Jika sehari seorang pegawai boleh bertemu 10 orang rakyat maka kita boleh bertemu 20,000 rakyat dalam sehari dan untuk setahun kita bertemu 24 juta rakyat. Kita minta mereka juga berselfie dengan rakyat bagi melahirkan keselesaan SPRM dengan rakyat,” katanya.
Sementara itu, selari dengan matlamat itu SPRM turut melancarkan kempen yang dinamakan 3J (Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangab Settle) yang akan disebarluaskan dengan kerjasama agensi media.
SPRM akan memulakan kempen berkenaan bermula hari ini dengan berada di perkarangan pejabat Kumpulan Media The Star, Sin Chew Jit Poh dan akhbar Tamil, Nanban. – Malaysia Gazette