PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia, dengan menetapkan sasaran pertumbuhan minima produktiviti buruh kepada 3.7 peratus setiap tahun menjelang 2020.
Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata pelan tindakan itu menggariskan lima teras strategik, 10 inisiatif nasional, 43 inisiatif sektor dan 16 item tindakan yang akan diguna pakai secara holistik untuk membuka potensi produktiviti di peringkat nasional, sektor dan perusahaan.
Lima teras strategik itu ialah menghasilkan tenaga kerja masa hadapan, memacu pendigitalan dan inovasi; memastikan akauntabiliti industri terhadap produktiviti; membentuk ekosistem yang teguh dan menentukan mekanisme pelaksanaan yang padu, katanya.
“Peningkatan produktiviti yang berkesan akan menyediakan asas untuk merangsang pertumbuhan ekonomi secara mampan agar ia dapat menyumbang kepada aspirasi negara berpendapatan tinggi serta mencapai status 20 negara tertinggi dunia dari segi pertumbuhan ekonomi pada 2050,” katanya ketika merasmikan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia di sini.
Beliau berkata aspirasi itu selaras dengan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang menekankan kepentingan produktiviti sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
“Sebab itu, kerajaan hendak meningkatkan produktiviti buruh sebanyak 3.7 peratus setiap tahun. Hari ini, pencapaian ini masih di bawah sasaran (3.3 peratus pada 2015),” katanya.
Najib berkata Majlis Produktiviti Kebangsaan, yang dipengerusikan beliau, akan bermesyuarat pada setiap suku tahun dan memperoleh data produktiviti bagi setiap suku tahun.
“Sebagai prosedur operasi standard (SOP), saya sebagai pengerusi majlis akan menulis kepada kementerian, agensi dan sektor swasta yang berkenaan untuk menentukan apa yang patut mereka lakukan untuk mencapai sasaran peningkatan produktiviti pada kadar tertentu.
“Ia bagi kementerian dan agensi yang berkaitan. Ini untuk menunjukkan kita serius dalam memacu ke arah itu,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau yang mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Produktiviti Kebangsaan yang akan menyelia pelaksanaan agenda produktiviti, telah bersetuju dengan enam keutamaan segera dan pelaksanaannya akan bermula serta-merta.
“Ia adalah memastikan kecekapan pasaran buruh dan fleksibiliti, terutamanya dalam menguruskan pekerja asing yang tidak mahir; menggalakkan penggunaan teknologi Revolusi Perindustrian 4.0 secara aktif oleh syarikat; mengukuhkan pendigitalan dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana.
“Menetapkan sasaran produktiviti untuk perusahaan dalam proses pembayaran bantuan kewangan yang baharu; memansuhkan langkah-langkah bukan tarif yang menghalang pertumbuhan perniagaan dan menggubah model tadbir urus untuk memacu pelaksanaan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia,” katanya.
Najib berkata majlis itu juga menubuhkan tiga nexus produktiviti sektor iaitu peruncitan dan makanan dan minuman; elektrik dan elektronik dan produk kimia yang akan disediakan geran pelancaran RM5 juta setiap satu untuk menjalankan aktiviti awal dan diharap mereka berkeupayaan untuk membiayai projek mereka sendiri pada masa hadapan pada fasa satu.
“Ini akan diikuti dengan fasa kedua pada September bagi subsektor jentera dan kelengkapan, pelancongan dan agro makanan, sementara fasa ketiga akan bermula pada Disember ini bagi subsektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), perkhidmatan profesional, dan perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta,” katanya.
Perdana Menteri menerangkan pelaksanaan pelan tindakan itu akan dibiayai melalui sekurang-kurangnya 89 program sedia ada di bawah RMK-11 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM9.5 bilion bagi tempoh 2017-2020.
Sektor swasta besar mahupun kecil juga perlu memperuntukkan sumber dan pembiayaan yang mencukupi untuk meningkatkan produktiviti mereka, katanya.
“Melalui produktiviti yang lebih tinggi, ekonomi negara akan menjadi lebih berdaya saing dan menjana pertumbuhan lebih kukuh.
“Dengan produktiviti yang lebih tinggi, perniagaan akan menjadi lebih menguntungkan dan menjana lebih banyak pekerjaan dengan gaji tinggi serta rakyat akan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi dan kualiti hidup yang lebih baik,” jelas Najib.
Dalam pada itu, Najib berkata mesyuarat Majlis Produktiviti Kebangsaan turut memutuskan untuk mengiktiraf syarikat perusahaan multinasional dan tempatan yang mencapai kadar pertumbuhan produktiviti yang tinggi dan menggunakan pekerja tempatan yang ramai.
“Kita akan memberi pengiktirafan secara teristimewa. Pengumuman yang terperinci akan dibuat selepas ini. Ini adalah langkah-langkah yang diputuskan untuk menunjukkan kerajaan serius dan komited dalam memacu kadar pertumbuhan ekonomi,” katanya. – MalaysiaGazette