Home Politik PRU-14: UMNO Selangor tidak bergantung kelemahan pembangkang

PRU-14: UMNO Selangor tidak bergantung kelemahan pembangkang

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor merangkap Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Larian UMNO Sempena Ulang Tahun Umno ke-71 di SMK Khir Johari, Selangor. foto IQBAL BASRI, 08 MEI 2017.

BERANANG  – Barisan Nasional (BN) di Selangor tidak bergantung kepada kelemahan pihak lawan untuk merampas semula negeri itu sebaliknya mengharapkan kekuatan ahli-ahli parti itu sendiri berdepan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, tidak ada sesuatu yang mustahil dalam politik dan UMNO Selangor bersedia untuk bertanding satu lawan satu.

“Saya tidak bioleh mendedahkan perancangan yang dibuat kerana ia merupakan strategi kita tetapi dengan adanya beberapa perancangan ini Insya Allah, BN Selangor akan turun sebagai underdog.

“Kalau dulu kita pernah menang hebat tahun 2004 dan kalah pada 2008, tidak mustahil kita boleh bangkit dan menang semula dalam pilihan raya yang akan datang ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sang Saka Bangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari di sini petang tadi.

Menurut Noh, untuk mencapai matlamat kemenangan itu UMNO Selangor turut menggerakkan tenaga kerja menerusi badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Belia Selangor dan sebagainya.

“UMNO Selangor turut berpegang kepada prinsip untuk mendekati pengundi-pengundi muda kita mesti menggunakan gerak kerja UMNO,” ujarnya.

Pada majlis itu, Noh menerima bendera Sang Saka daripada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Larian Bendera sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71.

Terdahulu, peserta larian yang diiringi konvoi motosikal bergerak dari Sikamat di sini sebelum menuju ke pekan Nilai dan melalui persimpangan Taman Semarak, Batang Benar, Pajam, Staffield dan tiba di Beranang.

Larian di Negeri Sembilan bermula di Rembau pada Sabtu lalu dan melibatkan jarak 111 kilometer dengan 7,400 peserta mengambil bahagian. – MalaysiaGazette