Home Nasional Rumah flat dijadikan makmal dadah RM6.8 juta di P. Pinang dibongkar

Rumah flat dijadikan makmal dadah RM6.8 juta di P. Pinang dibongkar

Polis merampas kira-kira 14 kilogram (kg) heroin bernilai RM340,100; 20kg syabu (RM1.4 juta); lebih 35kg serbuk ekstasi (RM4.18 juta); 33 liter cecair meth oil (RM924,000) dan 20kg serbuk kafein bernilai RM9,600.

PULAU PINANG – Polis negeri ini berjaya membongkar sebuah lagi makmal dadah yang beroperasi di rumah flat dalam serbuan di Tingkat Paya Terubong 5, Georgetown di sini membabitkan rampasan dadah bernilai RM6.8 juta.

Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik negeri pukul 10.30 pagi Jumaat lalu itu berdasarkan intipan ke atas seorang lelaki berusia 50-an yang menyewa di kediaman berkenaan sejak kira-kira sebulan lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, rumah flat berkenaan dipercayai dijadikan makmal memproses pelbagai jenis dadah untuk pasaran tempatan.

Dalam serbuan itu, katanya, polis merampas kira-kira 14 kilogram (kg) heroin bernilai RM340,100; 20kg syabu (RM1.4 juta); lebih 35kg serbuk ekstasi (RM4.18 juta); 33 liter cecair meth oil (RM924,000) dan 20kg serbuk kafein bernilai RM9,600.

Turut dirampas, ujar beliau, beberapa peralatan dan bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah berkenaan.

Menjelaskan lebih lanjut, Ghee Lye berkata, suspek merupakan seorang penganggur dan masih bujang serta memiliki tiga rekod lampau sejak 13 tahun lalu membabitkan kesalahan mencuri kenderaan dan menyimpan barangan curi.

Katanya, suspek ditahan sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Maklumat awal juga menunjukkan suspek positif dadah jenis methampethamine dan morfin,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ghee Lye berkata, pihaknya juga sedang menyiasat sama ada rumah flat itu turut dijadikan makmal transit untuk memproses dadah sebelum diedarkan kepada sindiket lain.

Tambah beliau, pihaknya juga sedang giat memburu suspek lain yang mungkin terlibat dalam operasi makmal dadah itu yang disifatkan rampasan terbesar pihaknya setakat ini. – MalaysiaGazette