Home Sukan Abdul Azim dilantik CDM Sukan Asia 2018

Abdul Azim dilantik CDM Sukan Asia 2018

Abdul Azim Mohd Zabidi

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dilantik sebagai chef de mission (CDM) negara ke Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Keputusan itu diumumkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM di Wisma OCM di sini, semalam.

Mesyuarat itu turut melantik Naib Presiden MOM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai Timbalan CDM.

“Satu daripada kriteria utama memilih Abdul Azim adalah kerana beliau adalah anggota Panel Penasihat Sukan untuk Kementerian Belia dan Sukan.

“Beliau adalah timbalan saya ketika saya menerajui MCA, seorang ahli perniagaan, personaliti yang dikenali dan bekas bendahari UMNO.

“Saya ada bercakap dengannya dan sudah tentu beliau komited, bukan hanya untuk berada di Indonesia tetapi juga bekerja bersama kami, persatuan sukan kebangsaan, pengurus pasukan, atlet dan semua orang sepanjang Sukan Asia,” kata Tunku Imran kepada Bernama.

Abdul Azim, 58, yang juga Pengerusi Sungei Wang Plaza Sdn Bhd sejak 2007 adalah tokoh yang dikenali dalam bidang perniagaan dan pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional Berhad dari 1999 hingga 2009.

Ketika ini, dalam pembabitannya dalam bidang sukan, Abdul Azim adalah setiausaha kewangan untuk Persatuan Kriket Melayu Malaysia.

Tunku Imran turut mengesahkan Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) mengurangkan jumlah acara daripada 493 kepada 426 untuk edisi ke-18 temasya itu yang akan dilangsungkan di Jakarta-Palembang, dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

“Indonesia memilih 39 jenis sukan, 53 disiplin dan ia adalah pengurangan yang besar (berbanding 42 jenis sukan dan 59 disiplin sebelum ini).

“Antara sukan yang digugurkan ialah kriket, skate board dan sambo (seni pertahanan diri). “Sukan di mana kita agak kuat seperti terjun, memanah, badminton, boling, skuasy dan karate masih disenaraikan,” katanya.

Ketika ditanya pendirian Malaysia untuk membida Sukan Komanwel 2022, Tunku Imran berkata tiada perubahan dalam isu itu dan tidak ada keputusan yang dibuat kerajaan Malaysia dan Persekutuan Sukan Komanwel. – MalaysiaGazette