Home Ekonomi Dalian Wanda ambil alih Bandar Malaysia?

Dalian Wanda ambil alih Bandar Malaysia?

Lakaran artis Bandar Malaysia

SINGAPURA – Dalian Wanda Group yang dimiliki oleh individu terkaya di China didakwa menjadi calon utama untuk menerajui pembangunan Bandar Malaysia.

Sumber-sumber yang tahu mengenai rundingan itu berkata, Dalian Wanda akan mengambil alih peranan sebagai pemaju utama projek itu dan telah mencapai peringkat akhir perjanjian itu.

Difahamkan Dalian Wanda sedang menunggu kelulusan daripada pengawal selia kewangan China kerana ia melibatkan aliran keluar modal yang besar, ketika negara itu sedang melaksanakan kawalan modal.

Dalian Wanda dikuasai oleh jutawan Wang Jianlin yang memiliki rangkaian pawagam terbesar dunia, selain taman-taman tema, kelab bola sepak dan hotel.

Sekiranya, cadangan itu mendapat lampu hijau daripada Kerajaan China, perjanjian akan ditandatangani semasa lawatan Datuk Seri Najib Razak ke negara itu hujung minggu ini bagi menyertai forum antarabangsa.

Minggu lalu, Kerajaan Malaysia telah membatalkan perjanjian pemilikan 60 peratus kepentungan Bandar Malaysia dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings (IWH) dan China Railway Engineering Corporation (CREC) yang bernilai RM7.4 bilion.

Perjanjian itu ditandatangani pada Disember 2015.

Bandar Malaysia yang akan dibangunkan perbandaran baharu mempunyai keluasan 197 hektar, juga akan menjadi terminal kereta api laju (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur-Singapura.

Difahamkan nilai rundingan baharu itu lebih tinggi berbanding RM12.3 bilion bagi keseluruhan projek.

Menurut sumber, Dalian Wanda mencadangkan sebahagian daripada pembangunan itu dibangunkan untuk pelancongan dan hiburan dengan nilai kasar AS$8 bilion.

Dalian Wanda telah melahirkan minat untuk menyertai projek Bandar Malaysia semasa pengurusan kanan syarikat itu menemui Najib yang membuat lawatan pada November tahun lalu. – MalaysiaGazette