Home Utama Kenapa MRT tidak berani runding dengan Ikhlas?

Kenapa MRT tidak berani runding dengan Ikhlas?

Presiden IKHLAS, Mohd Ridzuan Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mempersoalkan sikap pihak pengurusan Mass Rapid Transit (MRT) Corporation yang tidak berani untuk berdepan berhubung isu perobohan kompleks beli-belah Ampang Park.

Presidennya Mohd. Ridzuan Abdullah hairan kenapa sehingga hari ini pihak berkenaan mendiamkan diri sedangkan arahan ada dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri supaya Ikhlas terlibat dengan rundingan bersama pemilik di situ.

“Saya juga hairan kenapa MRT tidak mahu menjawab soalan-soalan Ikhlas berhubung perkara ini. Kenapa mereka ini cuba mengelak.

“Ikhlas ini hanya sebagai orang tengah yang cuba untuk selesaikan masalah yang dialami oleh pemilik-pemilik lot di Ampang Park,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Ridzuan berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Awam MRT, Datuk Najmuddin Abdullah semalam apabila menafikan dakwaan Ikhlas yang mengatakan pihaknya enggan bertemu dan berunding dengan pemilik Ampang Park berhubung isu perobohan kompleks beli-belah yang berusia 44 tahun itu.

Dalam kenyataannya Najmuddin berkata, pihaknya sudah mengadakan beberapa rundingan dengan pihak pemilik sejak 2015 tapi situasi bertukar sebaliknya apabila sekumpulan 39 pemilik Ampang Park bertindak membuat Semakan Kehakiman berhubung isu pembinaan stesen disitu.

Najmuddin mendakwa, sebanyak dua pertemuan diadakan dengan pemilik Ampang Park iaitu pada Oktober dan November 2015.

Dalam mesyuarat pada November 2015, pemilik meminta untuk mereka tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk berbincang dan ia dipersetujui MRT yang kemudiaannya disusuli dengan mesyuarat pertama antara MRT dengan jawatankuasa khas tersebut.

Jawatakuasa tersebut pada mulanya berjanji untuk membawa cadangan baharu kepada MRT selepas selesai mesyuarat 16 Disember bagaimanapun sebaliknya berlaku apabila 39 pemilik membuat Semakan Kehakiman pada 8 Januari 2016 terhadap kerajaan berhubung cadangan pembinaan stesen di kompleks tersebut.

Mengulas lanjut, Ridzuan berkata, beliau mempunyai bukti untuk mengheret seorang individu dipihak pengurusan tertinggi MRT supaya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, individu terbabit telah menghantar pesanan menerusi aplikasi Whatsapp kepadanya yang memberitahu tidak mahu mengadakan pertemuan dengan Ikhlas meskipun pejabat Perdana Menteri telah mengarahkan mereka berbuat demikian.

“Ikhlas menyokong projek MRT 2 ini tetapi, perlu melihat juga kepentingan rakyat. Mereka yang terlibat membantah untuk Ampang Park ini dirobohkan.

“Pengarah pejabat tanah sendiri ada maklumkan kepada Ikhlas bahawa mereka boleh ambil semula tanah itu tapi ia tertakluk kepada MRT.

“Kalau MRT bagi cadangan tidak perlu roboh Ampang Park pejabat tanah akan ikut kerana yang berkuasa di situ adalah MRT,” katanya lagi.

Dalam pada itu beliau menegaskan, Ikhlas lebih mengutamakan sokongan rakyat kepada kerajaan sedia ada dan tidak mahu melihat isu tersebut akan menyebabkan Barisan Nasional akan kehilangan undi yang banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

Katanya, MRT harus bertanggungjawab dengan sebarang kemungkinan yang berlaku sekiranya isu tersebut akan menyebabkan BN kehilangan kerusi di kawasan Parlimen Titiwangsa. – MalaysiaGazete

Ampang Park: MRT Corp nafi dakwaan Ikhlas tunggu keputusan mahkamah