Home Nasional Ikhlas desak CEO MRT Corp bincang isu roboh Ampang Park

Ikhlas desak CEO MRT Corp bincang isu roboh Ampang Park

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah (duduk kanan) bercakap pada sidang media khas mencabar pihak MRT Corp ekoran isu Ampang Park di pusat membeli belah Ampang Park, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 10 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mahu Datuk Seri Shahril Mokhtar sendiri berdepan dengan pertubuhan itu bagi membincangkan isu kontroversi Ampang Park dengan segera.

Presidennya, Mohd. Ridzuan Abdullah mendakwa, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp itu sehingga kini membisu seribu bahasa seolah-olah `takut’ untuk berdepan dengan pihaknya yang memperjuangkan nasib peniaga-peniaga.

Menurutnya, meski pun pihak MRT sedar bahawa arahan telah dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri supaya mereka mengadakan rundingan dengan Ikhlas namun arahan itu telah diabaikan.

“Ikhlas mendesak Datuk Shahril supaya buka mulut berhubung isu yang kami bangkitkan ini.

“Jika tidak, beliau boleh letak jawatan sebagai CEO. Jangan susahkan Perdana Menteri,” tegasnya pada sidang media di sini hari ini.

Ridzuan memberitahu, syarat yang dikenakan oleh pihak MRT Corp yang memerlukan 100 peratus persetujuan pemilik premis di Ampang Park bagi membatalkan projek merobohkan bangunan berkenaan juga dianggap tidak masuk akal.

Perkara tersebut adalah mustahil memandangkan terdapat pemilik premis yang berada di luar negara serta 65 unit milik Ampang Park Management Corporation (APMC), ujarnya.

“Ini negara demokrasi, sepatutnya mereka ( MRT Corp) tidak meletakkan syarat sedemikian. Mana mungkin kita mendapat seratus peratus sokongan jika ada segelintir individu dalam APMC menyokong untuk merobohkan bangunan ini,” ujarnya.

Beliau berharap MRT Corp akan membuka pintu rundingan bagi menyelesaikan masalah ini apatah lagi ia telah mendapat arahan daripada Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

 

Kenapa MRT tidak berani runding dengan Ikhlas?