Home Nasional Kontraktor wanita pula ditahan bantu siasatan penyelewengan ZPP

Kontraktor wanita pula ditahan bantu siasatan penyelewengan ZPP

SPRM

PULAU PINANG – Seorang lagi kontraktor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan dalam Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengarah SPRM negeri, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, kontraktor wanita berusia 42 tahun itu ditahan ketika hadir di pejabat SPRM di sini pukul 8 malam tadi.

Dalam kenyataan medianya di sini hari ini, Abdul Aziz berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan perintah tahanan reman ke atas suspek selama enam hari bermula hari ini.

Semalam, 11 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan tiga kakitangan ZPP ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan wang zakat yang diperuntukkan untuk projek pembangunan masyarakat sejak tiga tahun lalu.

Selain CEO berusia 50 tahun serta kakitangan ZPP berusia 35, 39 dan 40 tahun itu, turut ditahan seramai tujuh kontraktor berusia antara 41 dan 52 tahun.

CEO berkenaan dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan kerana memberi projek atau kerja berkaitan program pembangunan membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.

Malah, beliau turut dipercayai memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Kesemua mereka semalam ditahan reman selama tujuh hari sehingga 15 Mei ini dan kes itu n disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimun lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan. – MalaysiaGazette