KOTA BHARU – Majlis Syura Ulama Pas akan menentukan kedudukan hubungan parti itu dengan PKR dalam mesyuarat yang akan diadakan Kuala Lumpur esok.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, mesyuarat tersebut akan membincangkan secara terperinci usul yang diluluskan dalam Muktamar Pas Ke-63 itu sebelum membuat keputusan.
“Saya akan hadir mesyuarat yang akan diadakan di Kuala Lumpur esok.
“Kita akan bincang dahulu sebelum buat sebarang keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pecah Tanah Bangunan Wakaf Raudhatul Barakah, Pondok Beta Hilir di sini hari ini.
Mutamar tahunan Pas yang diadakan di Alor Setar baru-baru ini melukuskan usul untuk memutuskan hubungan dengan PKR bagaimanapun keputusan muktamad diserahkan kepada Majlis Syura Ulama.
Hubungan di antara kedua-dua parti itu dingin selepas beberapa PKR mengkritik pemimpin Pas.
Malah PKR telah menjalinkan hubungan yang erat dengan musuhnya DAP yang mengetuai Pakatan Harapan.- MalaysiaGazette