KUALA LUMPUR – Hasil bagi sektor perkhidmatan meningkat 8.3 peratus kepada RM375.3 bilion bagi suku tahun pertama 2017 berbanding suku yang sama tahun 2016.
Kenaikan ini disumbangkan oleh segmen profesional dan ejen hartanah (16.7 peratus) dan kesihatan, pendidikan dan kesenian, hiburan & rekreasi (7.7 peratus).
Jabatan Perangkaan dalam kenyataannya berkata, jumlah hasil bagi perbandingan secara suku tahunan meningkat sebanyak RM6.6 bilion atau 1.9 peratus.
Jumlah pekerja dalam sektor ini adalah 3.6 juta orang iaitu meningkat seramai 88,437 orang kepada 2.5 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas.
Bagi perbandingan suku tahun, bilangan pekerja meningkat seramai 15,838 orang (0.4 peratus).
Pada suku tahun pertama 2017, gaji & upah yang dibayar adalah RM22.9 bilion iaitu peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dan 1.4 peratus bagi perbandingan suku tahunan.
Jumlah hasil bagi segmen perdagangan borong & runcit, makanan & minuman dan penginapan merekodkan pertumbuhan 8.4 peratus (RM298.2 bilion) berbanding suku tahun yang sama tahun 2016.
Peningkatan ini dipacu oleh subsektor perdagangan borong & runcit (8.5%) dan segmen ini mencatatkan peningkatan 2.3 peratus berbanding suku tahun sebelumnya.
Bilangan pekerja bagi segmen ini meningkat kepada 3.1 peratus atau 2.7 juta orang berbanding suku tahun pertama 2016.
Gaji dan upah yang dibayar meningkat 5.1 peratus kepada RM13.8 bilion. Bagi perbandingan suku tahun, bilangan pekerja dan gaji & upah yang dibayar masing-masing meningkat 0.5 peratus dan 2.0 peratus.
Segmen maklumat dan komunikasi serta segmen pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan kenaikan jumlah hasil kepada RM55.0 bilion atau 7.1 peratus berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.
Peningkatan ini didorong oleh subsektor maklumat & komunikasi (7.9 peratus). Bagaimanapun, jumlah hasil segmen ini mencatatkan penurunan 1.1 peratus bagi perbandingan suku tahun.
Tahun ke tahun, bilangan pekerja bagi segmen ini menurun 0.1 peratus kepada 465,565 orang, manakala gaji dan upah yang dibayar merekodkan kenaikan kepada RM4.9 bilion (3.9 peratus). Bilangan pekerja tidak berkembang manakala gaji dan upah yang dibayar menurun 1.1 peratus pada suku tahun semasa berbanding suku tahun sebelumnya.
Segmen kesihatan, pendidikan dan kesenian, hiburan dan rekreasi mencatatkan jumlah hasil RM14.4 bilion, meningkat 7.7 peratus berbanding RM13.4 bilion pada suku tahun pertama 2016.
Pertumbuhan segmen ini disokong oleh subsektor pendidikan wwasta (8.5 peratus) diikuti oleh kesenian, hiburan dan rekreasi (8.3 peratus). Jumlah hasil segmen ini meningkat 4.2 peratus bagi perbandingan suku tahun.
Bilangan pekerja meningkat 1.6 peratus kepada 269,013 orang berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya.
Gaji dan upah yang dibayar menokok 4.9 peratus kepada RM2.2 bilion. Bagi perbandingan suku tahun, bilangan pekerja menurun 0.4 peratus manakala gaji dan upah yang dibayar mencatatkan pertumbuhan 2.2 peratus.
Jumlah hasil bagi segmen profesional dan ejen hartanah bagi suku tahun ini meningkat 16.7 peratus kepada RM7.8 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Subsektor profesional mencatatkan peningkatan 17.6 peratus.
Bagi perbandingan antara suku tahun, segmen ini meningkat kepada 12.7 peratus.
Pada suku tahun pertama 2017, bilangan pekerja meningkat kepada 170,769 orang atau 3.5 peratus.
Gaji dan upah yang dibayar meningkat 7.7 peratus kepada RM2.0 bilion berbanding suku tahun yang sama tahun sebelumnya. Perbandingan antara suku tahun, bilangan pekerja dan gaji & upah masing-masing meningkat 2.9 peratus dan 3.1 peratus. – MalaysiaGazette