Home Nasional Masyarakat boleh terima Maqasid Syariah – Shamrahayu

Masyarakat boleh terima Maqasid Syariah – Shamrahayu

Shamrahayu Abdul Aziz. foto IQBAL BASRI, 11 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pelabelan semula konsep Maqasid Syariah diyakini mampu diterima oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Felo Utama, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof Dr Shamrahayu Ab. Aziz berkata, masyarakat perlu diberi tafsiran secara menyeluruh mengenai agama Islam agar mereka dapat memahami konsep yang diperkenalkan itu.

Katanya, jika dilihat konsep berkenaan seolah-olah mahu mengislamkan undang-undang tetapi ia sebenarnya merupakan satu kepelbagaian dimensi yang harus dititik-beratkan agar negara dapat dibangunkan dengan aman, makmur dan sejahtera.

“Ia merupakan satu proses yang tidak boleh berhenti sebab kefahaman demi kefahaman itu boleh ditambah baik.

“Selaras dengan dasar baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu wasatiyyah yang juga terkandung di dalamnya konsep maqasid syariah ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Muzakarah Pakar Maqasid Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang di sini hari ini.

Sebanyak lapan kertas kerja dibentangkan pada muzakarah berkenaan dengan pembentang-pembentangnya terdiri daripada pakar-pakar dan pensyarah universiti awam.

Menerusi muzakarah itu, Shamrahayu berkata, ia diharap mampu mencapai matlamat untuk menegakkan undang-undang yang berlandaskan prinsip-prinsip universal dalam Maqasid Syariah di Malaysia.

Selain itu katanya, ia boleh dijadikan sebagai satu landasan bagi mencari keharmonian antara pihak-pihak tertentu berhubung konflik yang telah berlaku terhadap Akta 164 Rang Undang-Undang Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Pindaan) 2016 yang telah ditarik balik oleh kerajaan. – MalaysiaGazette