Home Ekonomi Nazir minta kerajaan telus berhubung 1MDB

Nazir minta kerajaan telus berhubung 1MDB

Nazir Razak

PHNOM PENH – Kerajaan Malaysia perlu menambah baik ketelusan berhubung 1Malaysia Development Berhad, kata Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak.

Bercakap kepada CNBC, Nazir berkata: “Ia memberi tekanan apabila isu tersebut mendapat liputan berbulan-bulan dalam media antarabangsa”.

Nazir percaya kerajaan sedang menyelesaikan penstrukturan semula kewangan 1MDB tetapi pada masa sama perlu menambah baik dalam aspek ketelusan dan menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.

Pada April tahun lalu, Nazir secara sukarela bercuti ketika CIMB melakukan siasatan bebas terhadap pemindahan dan pengagihan dana politik sebanyak RM28 juta kepada ahli-ahli politik menjelang pilihan raya umum Malaysia pada 2013.

Beliau kemudian disahkan tidak menyalahi kedudukannya.

Nazir menjangkakan Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan pada akhir tahun ini atau awal tahun depan, sambil melahirkan kebimbangan bagaimana ia akan memberi kesan kepada sentimen.

“Secara umumnya, menjelang PRU para pelabur akan berhati-hati, begitu juga dengan pengguna dan pada saya ia berkaitan dengan jangkaan keputusan. Pada masa sekarang gambaran masih belum jelas,” kata Nazir.

Bagaimanapun, Nazir menjangkakan, kerajaan sedia ada akan terus mendapat mandat.

“Selepas semuanya (PRU) berakhir, sentimen akan kembali pulih dan mengukuh semula,” ujarnya. – MalaysiaGazette