Home Utama Pas tamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta

Pas tamatkan tahaluf siyasi dengan PKR serta merta

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Nik Zawawi Salleh bercakap pada sidang media selepas selesai Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Pejabat Pas, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 11 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Pas hari ini memutuskan hubungan tahaluf siyasi ataupun kejasama politik dengan PKR berkuatkuasa serta merta.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika mengumumkan pendirian parti itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan PKR telah melanggar beberapa syarat tahaluf siyasi yang dipersetujui bersama sebelum ini.

“Dengan merujuk kepada begitu banyak pelanggaran menurut pertimbangan hukum syarak dan akhlak Islam, maka hubungan politik Pas dan PKR telah terbatal.

“Antara pelanggaran tersebut adalah tidak menyokong malah menentang sebahagian agenda Islam yang dibawa oleh Pas seperti RUU355 (Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016,” kata Zawawi.

Selain itu, Zawawi berkata PKR juga didakwa telah melanggar adab kerjasama dalam politik seperti menyerang pimpinan Pas dan membuat tuduhan palsu yang merosakkan imej Pas.

“PKR juga telah khianati dalam hubungan dengan Pas, antaranya bekerjasama dengan pihak yang mahu menjatuhkan kerajaan Kelantan dan menentang Pas dalam Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas di Pas Pusat hari ini.

Keputusan itu dibuat selepas Majlis Syura bermesyuarat selama hampir dua jam.

Turut hadri dalam sidang media berkenaan adalah, Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Muhammad Abduh Nik Mat.

Sementera itu ketika ditanya sama ada Pas bersedia untuk bertemu dengan PKR jika parti itu masih mahu berbincang mengenai hubungan tersebut, Zawawi berkata, pihak tiada masalah untuk berbuat demikian.

Untuk itu, sebarang tindakan politik termasuk urusan pentadbiran Negeri Selangor, Majlis Ulama Pas akan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat dengan merujuk kepada maslahah dan kepentingan Islam dan rakyat. – Malaysia Gazette.