Home Utama Pemimpin UMNO diingatkan jauhi rasuah, salah guna kuasa

Pemimpin UMNO diingatkan jauhi rasuah, salah guna kuasa

Sebahagian perwakilan UMNO melaungkan kata-kata Hidup UMNO ketika sesi Taklimat Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO ke 70 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO diingatkan agar menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, sebagai sebuah parti politik yang menjadi teras dan tunjang kepada pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak, pemimpin-pemimpinnya berperanan penting dalam merangka dasar pentadbiran negara bagi pembangunan dan kemajuan negara.

Para pemimpin dan ahli-ahli UMNO juga merupakan harapan masyarakat untuk melaksanakan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan bagi memelihara kepentingan dan kesejahteraan mereka.

“Justeru, pemimpin-pemimpin ini perlulah memastikan tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan dilaksanakan dengan penuh berintegriti serta menjauhkan diri daripada sebarang perbuatan rasuah dan salah guna kuasa,” kata SPRM dalam perutusan tahniah UMNO bersempena sambutan ulang tahun ke-71 pada hari ini.

SPRM berharap pemimpin-pemimpin ini akan mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dan melaksanakannya sebaik mungkin supaya masyarakat dapat menikmati manfaat yang disediakan oleh kerajaan untuk mereka.

Pemimpin-pemimpin UMNO juga perlu memberi penekanan terhadap aspek memerangi rasuah dan salahguna kuasa agar dapat menjadi contoh yang baik kepada generasi yang bakal memimpin negara ini nanti.

SPRM juga menaruh harapan agar UMNO dapat memberikan sokongan dan menjadi pendukung kuat kepada Gerakan Revolusi Anti-Rasuah (GERAH) yang dilancarkan oleh SPRM baru-baru ini.

“SPRM berharap seluruh ahli dan pemimpin UMNO bersama-sama dalam segala usaha membersihkan Malaysia daripada anasir rasuah dan salah guna kuasa serta menjadi penggerak utama menjadikan rasuah musuh nombor satu negara,” katanya. – MalaysiaGazette