KUALA LUMPUR – MMC Corp Bhd akan menyerahkan operasi feri di Pulau Pinang kepada Prasarana Malaysia Bhd dalam tempoh dua bulan lagi.
Pengarah Urusannya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, pemindahan aset dan operasi feri kepada Prasarana mengambil sedikit masa lagi.
“Penangguhan ini kerana Pelabuhan Pulau Pinang dan perkhidmatan feri berada di bawah satu konsesi.
“Jadi, sebelum itu ia perlu diasingkan, ini hanya melibatkan proses kertas kerja,” katanya selepas mesyuarat agung dan mesyuarat agung luar biasa di sini hari ini.
Penang Port Sdn Bhd telah mencapai perjanjian dengan Prasarana untuk melupusan operasi feri pada akhir tahun lalu.
Perjanjian itu melibatkan pemindahan perniagaan dan aset, tambah beliau.
Che Khalib menjelaskan pemindahan itu dibuat kerana perniagaan feri tidak menjadi keperluan dalam operasi pelabuhan.
“Kami adalah pengendali pelabuhan dan Prasarana memiliki kelebihan untuk menjalankan perniagaan itu,” katanya sambil memberitahu pemindahan perniagaan feri turut melibatkan terminal di pulau dan Butterworth. – MalaysiaGazette