Home Politik Armada mahu UiTM beri penjelasan arah pelajar hadir Stadium Bukit Jalil

Armada mahu UiTM beri penjelasan arah pelajar hadir Stadium Bukit Jalil

Surat sebaran yang didakwa arahan kepada pelajar yang dikeluarkan oleh pihak pengurusan UiTM untuk menyertai Sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Bukit Jalil, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) digesa supaya memberikan penjelasan mengenai surat sebaran mengarahkan pelajar universiti berkenaan, menghadiri majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Bukit Jalil, malam tadi.

Gesaan itu dibuat oleh Armada, sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia apabila melihat arahan itu sebagai satu tindakan terdesak parti berkenaan.

Exco Mahasiswa dan Pendidikan Armada, Abdul Hannaan Khairy dalam satu kenyataan berkata, pihak pengurusan universiti harus menjawab perkara itu kerana UiTM bukan ‘kilang’ UMNO.

“Saya amat kecewa sekiranya salinan surat yang dihantar kepada saya ini adalah benar malah lebih kecewa lagi dengan penyertaan Universiti Awam dalam program politik seperti yang kita sedia maklum Sambutan Ulang Tahun UMNO ke- 71.

“Teringat saya satu ketika dahulu semasa Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia, saya ada keluarkan satu poster individu menjemput rakan-rakan mahasiswa hadir bersama. Namun begitu, sebaran ini dibuat hanya di media sosial tanpa melalui mana-mana universiti.

“Ada pihak yag tidak bertanggungjawab telah mengedit poster saya dengan meletakkan logo-logo UA di seluruh Malaysia yang membuatkan saya dipanggil oleh pihak universiti,” katanya menerusi kenyataan itu.

Abdul Hannaan yang mempunyai bukti salinan surat arahan itu berkata, surat tersevut menunjukkan pembabitan pihak pengurusan UiTM serta pelajar universiti itu di Stadium Bukit Jalil untuk menjadi sukarelawan satu program anjuran agensi luar. – MalaysiaGazette