Home Politik Putus hubungan dengan PKR bukan helah Pas

Putus hubungan dengan PKR bukan helah Pas

Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yakin keputusan Pas membatalkan ketetapan tahaluf siyasi dengan PKR bukan helah untuk mendapatkan sokongan daripada kelompok tertentu.

Ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Pas mampu bertanding dan menang atas prinsip tertentu daripada terpaksa menanggung beban pihak lain.

“Pemuda UMNO Kedah mohon agar Pas terus konsisten mempertahankan keputusan ini. Tindakan berani Pas ini dilihat kembali memberi nafas baru terhadap agenda politik Melayu Islam di dalam negara dan ianya perlu disanjung tinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shaiful Hazizy, keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas itu penting demi membersihkan imej parti itu sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu.

Tambahnya, langkah Pas yang sebelum ini terpaksa mengorbankan prinsip dan pendekatan demi memelihara hubungan sesama pakatan pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional telah memberi kesan yang tidak baik kepada parti itu yang terpaksa menanggung liabiliti liberal DAP dan moral beberapa pemimpin PKR.

Dalam pada itu Shaiful turut menyarankan agar “dialog ummah” antara Pas dan UMNO terus dijalankan.

Ini kerana katanya, walaupun tidak berada didalam satu pasukan, keterbukaan dan jiwa besar UMNO perlu disambut.

“Polemik agama dan bangsa perlu diselesaikan dengan segera dan UMNO tidak boleh bersifat ‘silo’ dalam hal ini. Usaha UMNO perlu mendapat kerjasama dan persetujuan drpd pihak lain khasnya daripada parti Pas,” Ujarnya.

Tambah beliau, cara berpolitik pada masa akan datang juga perlu diubah dengan keutamaan isu ataupun maslahah ummah perlu dijadikan ukuran utama. – MalaysiaGazette