Home Nasional Rasuah: SPRM dakwa 14 individu termasuk bekas majistret

Rasuah: SPRM dakwa 14 individu termasuk bekas majistret

SPRM

KUALA LUMPUR – Seramai 14 individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dihadapkan ke mahkamah berasingan atas kesalahan memberi rasuah.

Di Mahkamah Sesyen KUANTAN, dua tertuduh, Woo Kwai Chung, 56, dan Sai Jun Hao, 22, mengaku bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Kedua-dua tertuduh didakwa memberi suapan masing-masing bernilai RM5,000 dan RM1,500 kepada seorang penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kebun haram yang diusahakan oleh mereka di Cameron Highland.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM12,000 terhadap Kwai Chung manakala Jun Hao dipenjara selama sehari dan denda RM10,000.

Di Mahkamah Sesyen SEREMBAN pula, tertuduh, Mohamad Daud Abdullah, 53, dipenjara selama enam bulan dan denda RM10,000 setelah mengaku bersalah di hadapan Hakim Fathiyah Idris kerana memberi suapan sebanyak RM101 kepada seorang sukarelawan polis sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya yang berkelakuan tidak senonoh di tempat awam.

Tertuduh bagaimanapun tidak membayar denda tersebut dan menjalani hukuman penjara selama enam bulan.

Di Mahkamah Sesyen IPOH, seorang pemilik dan pemandu lori, S. Moorthy, 51, dan V. Kumar, 57, didakwa memberi suapan sebanyak RM600 kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas lorinya yang membawa lebih muatan.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Indera Nehru Savandiah.
Hakim membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin.

Di Mahkamah Sesyen Jalan Duta KUALA LUMPUR pula, tertuduh, Ahmad Badrol Hazim Ahmad Sabbri, 29, yang merupakan pekerja syarikat bas ekspres didakwa memberi suapan berjumlah RM200 kepada Penolong Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas kenderaan milik syarikatnya.

Tertuduh mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mahkamah membenarkan Ahmad Badrol Hazim diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh turut diserahkan kepada mahkamah.

Di Mahkamah Sesyen KUCHING, lima tertuduh, Ngu Ho Woon, 69, Ling Mee Liong, 52, Eng Chong Kok, 41, Ting Heng Chuang, 50, dan Phang Tze Sin, 42, didakwa memberi suapan masing-masing bernilai RM2,000, RM15,000, RM2,000 dan RM1,500 kepada penguat kuasa sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Ho Woon dan Heng Chuang didakwa bawah kesalahan mempunyai pekerja asing tanpa permit manakala Tze Sin didakwa miliki barangan kawalan tanpa permit yang sah.
Mee Liong dan Chong Kok pula didakwa melakukan kesalahan bawah Seksyen 135(1)(b) Akta Kastam 1967.

Ho Woon, Heng Chuang, Mee Liong dan Chong Kok mengaku tidak bersalah manakala Tze Sin pula dijatuhkan hukuman penjara selama sehari dan denda RM10,000 ketika pertuduhan terhadap kesemua suspek dibacakan di hadapan Hakim Nixon Kennedy Kumbong.

Hakim membenarkan Ho Woon dijamin tanpa deposit sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin manakala Heng Chuang dibenarkan jaminan tanpa deposit sebanyak RM10,000 dengan dua orang penjamin.

Hakim turut membenarkan Mee Liong dan Chong Kok masing-masing dijamin tanpa deposit sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen SHAH ALAM, seorang peguam dan bekas majistret didakwa atas tuduhan memberi suapan sebanyak RM1,000 kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mengugurkan kes anak guamnya yang disabit kes cubaan samun.

Tertuduh, Esther Tan Siew Choo, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Di mahkamah yang sama juga, bagi kes yang berasingan, dua tertuduh, Foo Ah Lee, 66, dan Muhammad Razif Mahadi, 24, didakwa memberi suapan masing-masing berjumlah RM6,000 dan RM1,150 kepada seorang penguat kuasa sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pekerja asing bawah pengendalian mereka di sebuah kawasan pelombongan.

Kedua-duanya mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Rozilah Salleh dan mahkamah membenarkan Ah Lee dan Muhammad Razif masing-masing diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri ke pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Kesemua tertuduh didakwa bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.- MalaysiaGazette