KUALA LUMPUR – RHB Research Institute Sdn. Bhd. mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar sebanyak 4.5 peratus bagi 2017 berbanding 4.2 peratus pada 2016.
Firma penyelidikan itu berkata, Indeks Pengeluaran Industri (IPI) kekal pada 4.6 peratus perbandingan tahunan pada Mac berbanding 4.7 peratus pada Februari didokong oleh pemulihan output pelombongan dan pertumbuhan pengeluaran yang mapan.
Dalam satu laporan ekonomi hari, RHB Research Institute berkata, mereka menjangkakan KDNK sebenar akan meningkat sedikit melebihi lima peratus pada suku pertama berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sebelum ini firma tersebut mengunjurkan KDNK suku pertama 2017 adalah 4.7 peratus manakala suku terakhir berkembang sebanyak 4.5 peratus.
“Kami sedang melakukan penilaian semula unjuran KDNK sebenar bagi keseluruhan tahun kerana pertumbuhan suku pertama yang lebih kukuh berbanding jangkaan memberikan kami ruang untuk memperbaiki unjuran.
“Buat masa ini sementara menantikan data rasmi KDNK pada 19 Mei ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia adalah 4.5 peratus pada 2017 berbanding 4.2 peratus pada 2016,” katanya.
Ini menurut firma tersebut disokong oleh pemulihan kukuh eksport hasil daripada permintaan global yang lebih baik.
Selain itu, permintaan domestik yang terus meningkat disokong oleh perbelanjaan pengguna yang mapan dan pelaburan swasta yang meningkat hasil daripada pemulihan eksport.
Peningkatan sederhana di dalam perbelanjaan awam hasil daripada pertambahan pendapatan turut menyokong pertumbuhan, katanya.-MalaysiaGazette