KUALA LUMPUR – Dakwaan kononnya UMNO memaksa pelajar universiti ke himpunan sambutan ulang tahun ke-71 di Bukit Jalil semalam tidak benar sama sekali.
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atau Ku Nan menyifatkan pihak tertentu cuba memutarbelit cerita.
Setiausaha Agung UMNO itu dipetik berkata, pelajar yang datang tersebut adalah secara sukarela atas platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di universiti masing-masing dan dakwaan mengatakan wujud paksaan adalah tidak benar sama sekali.
“Jadi kita biarkan (mereka nak datang). Mereka datang sebagai NGO.
“Janganlah tuduh kita paksa mereka (pelajar). Kita tidak pernah paksa sesiapa,” katanya dipetik dalam program di Putrajaya hari ini.
Menyifatkan isu itu sengaja ‘diputar belit’, Ku Nan berkata kehadiran pelajar itu atas permintaan mereka sendiri dan bukan kerana UMNo yang suruh mereka datang.
“Banyak diputarbelit, memang ada pelajar hadir. Mereka minta untuk hadir jadi kita jemput jelah. Ada daripada mereka dari UniKL, UiTM, ada juga ada universiti lain yang datang,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, sebuah universiti menafikan terdapat gesaan ke atas mahasiswanya untuk turun ke Stadium Bukit Jalil, semalam.
Ia ekoran dakwaan Pemuda PKR dan DAP yang mendakwa UMNO menggerakkan mahasiswa UiTM untuk hadir ulang tahun UMNO ke-71 malam semalam.
Mereka menyebarkan rakaman skrin di kumpulan WhatsApp berkaitan mahasiswa bagi membuktikan dakwaan itu dan menuduh UMNO ‘menipu’ pelajar. – MalaysiaGazette