Home Nasional PERKASA cadang wujud Akta Sabotaj atasi rasuah

PERKASA cadang wujud Akta Sabotaj atasi rasuah

Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) memberi tiga cadangan kepada kerajaan jika mahu mengurangkan kadar rasuah yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, cadangan itu ialah
meletakkan SPRM di bawah kuasa Parlimen, pindaan terhadap hukuman dan mewujudkan Akta Sabotaj yang menyamai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau berkata, jika ketiga-tiga cadangan itu diterima, gejala rasuah sekurang-kurangnya dapat dikurangkan dan memberi kesedaran kepada perasuah untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Pada saya, jika SPRM diletakkan bawah Parlimen, segala campurtangan pihak yang ada kuasa tidak dapat mempengaruhi siasatan.

“Begitu juga hukuman, penjara 20 tahun tetapi atas budi bicara hakim, perasuah dikenakan hukuman sebulan atau setahun sahaja.

“PERKASA mencadangkan hukuman penjara ditukar kepada rotan,” katanya pada program Merakyatkan SPRM Bersama Pemimpin Perkasa Memerangi Rasuah di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.

Ibrahim berkata, selain pemimpin politik, kakitangan kerajaan juga tidak terlepas daripada terlibat dengan rasuah.

Katanya, setiap akhir tahun, tidak sedikit kakitangan ini menghabiskan cuti bersama keluarga di luar negara dan memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Di mana kakitangan ini dapat sumber kewangan untuk tampung perbelanjaan percutian di luar negara kalau tidak secara tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, Ibrahim juga mahu sistem angkat sumpah jawatan bagi pemimpin ditukar kepada baiah.

Melalui baiah, kata beliau, setiap pemimpin wajib melafazkan sumpah laknat ke atas dirinya dan keluarga sekiranya mereka terlibat dalam menerima atau memberi rasuah.

“Baiah ini perlu dimulakan dari Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet,” katanya. – MalaysiaGazette