Home Nasional Syed Saddiq siasat fakta sebenar sebelum kritik PM

Syed Saddiq siasat fakta sebenar sebelum kritik PM

Datuk A.Chandrakumanan

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini Ketua Pemuda Parti Pribumi BersatuMalaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencabar Perdana Menteri supaya cuba hidup di negara ini dengan gaji RM1,500 sebulan.

Menurutnya, ia bagi membuktikan kos sara hidup di Malaysia terendah dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Bagaimanapun tindakannya mengecam tanpa henti tentang kerajaan dan pemimpin negara itu menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Persatuan Aduan Rakyat Malaysia (PAR).

Presiden PAR, Datuk A. Chandrakumanan menganggap cabaran Syed Saddiq melucukan dan ia sekadar untuk menarik perhatian orang sahaja.

Beliau menegaskan, Syed Saddiq terdesak menegur kerajaan tanpa memikirkan apa yang mereka sebenarnya sumbangkan selama ini.

“Perdana Menteri hanya membuat kenyataan berdasarkan kajian kos sara hidup dalam kalangan negara-negara ASEAN.

“Tiada apa yang boleh didakwa sebagai salah dalam kenyataan yang diberikan Najib.

“Sebenarnya apa yang didedahkan N ialah fakta sebenar dan Syed Saddiq tidak perlu menyindir dan bersikap sarkastik kerana perlu sedar kita melaksanakan gaji minimum di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette semalam.

Bekas Naib Presiden PPP Kebangsaan itu berkata, Syed Saddiq perlu memahami bahawa kenyataan Najib itu berdasarkan kaji selidik seluruh dunia mengenai kos sara hidup yang dikendalikan Unit Perisikan Pakar Ekonomi (EIU) untuk tahun ini melibatkan perbandingan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar utama seluruh dunia.

Chandrakumanan menegaskan, Syed Saddiq seharusnya bertindak matang dan mengelak daripada membuat serangan kurang bijak ke atas kerajaan.

“Sebaliknya dia harus terlebih dahulu melihat disekelilingnya sebelum mengecam atau mengkritik secara membuta tali tanpa menyiasat fakta.

“Syed Saddiq pergi semak dulu apa yang sedang berlaku kepada dunia ekonomi global dan cuba cari sebab disebalik kenaikan harga barang dan perkhidmatan,” tegasnya lagi.

Malaysia terkesan dengan kenaikan harga tetapi dibawah kepimpinan Najib,  kerajaancuba berusaha keras untuk mengurangkan beban rakyat dengan memperkenalkan pelbagai insentif, kata Chandrakumanan.

“Nasihat saya kepada Saddiq ialah cuba memahami keadaan sebelum melontarkan kritikan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette