KUALA LUMPUR – Anggota Jawatankuasa Kerja Rayuan Membatalkan Lokasi Pusat Penyembelihan Ayam (PPA), Abdul Aziz Mohd Alias mahu projek pembinaan pusat penyembelihan ayam di Pasar Harian Selayang, Selangor dipindahkan ke lokasi yang lebih sesuai kerana bimbang dengan tahap persekitaran dan kesihatan penduduk berdekatan.
Menurut beliau, kerajaan seharusnya bersikap prihatin terhadap persekitaran dan kesihatan penduduk sekiranya mahu membina pusat penyembelihan ayam itu berdekatan dengan kawasan perumahan.
Katanya, ini kerana pembinaan tersebut hanya akan menimbulkan masalah jangka masa panjang terutamanya kepada penduduk di kawasan perumahan berhampiran.
“Kami tidak membantah projek pembinaan itu, cuma kerajaan perlu mengambil kira keadaan persekitaran tapak pembinaan itu, sama ada sesuai ataupun tidak dengan mengadakan dialog terdahulu dengan penduduk sebelum memulakan pembinaannya.
“Sekiranya pembinaan pusat penyembelihan ayam itu diteruskan, kesesakan jalan raya dan keadaan kesihatan penduduk setempat, terutamanya Rumah Amal Cheshire yang menempatkan orang kurang upaya (OKU) akan terjejas,” kata Abdul Aziz.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Batu Caves hari ini.
Cadangan bantahan itu dikemukakan oleh 60 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan-persatuan penduduk, rumah-rumah kebajikan dan persatuan-persatuan penjaja kecil dari kawasan Taman Wilayah Selayang, Taman Sri Murni, Taman Sri Selayang dan Kampung Selayang Lama.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, faktor kekurangan parkir di sekitar Pasar Harian Selayang turut menimbulkan isu apabila tapak pembinaan pusat penyembelihan ayam itu sepatutnya dijadikan tapak parkir berbayar.
“Sepatutnya selesaikan dahulu masalah parkir yang menyebabkan kesesakan kerana hampir setiap hari pengunjung pasar borong akan meletak kenderaan di tepi Jalan Kuching,” katanya.
Sementara itu, Presiden Rumah Amal Cheshire Selangor, Datin Paduka Khatijah Sulieman menerusi satu kenyataan berkata, kira-kira 40 penghuni rumah amal berasa bimbang dengan masalah kesihatan terutama kemungkinan selesema burung (H5N1).
“Rumah ini menempatkan orang kurang upaya fizikal dan mental yang akan terdedah kepada penyakit di mana keadaan penjaga cuba untuk mengelak, bagaimanapun rumah penyembelihan akan meningkatkan risiko, meletakkan rumah ini dalam dilema,” katanya. – Malaysia Gazette