Home Politik PRU-14: Pas sasar tanding 100 kerusi

PRU-14: Pas sasar tanding 100 kerusi

Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini berkeyakinan untuk bertanding di lebih 100 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Keyakinan itu lahir disebabkan Pas tidak lagi bersama gabungan pembangkang mahupun PKR dan membentuk Gagasan Sejahtera yang mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera.

Menurut Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan, jumlah itu termasuklah 40 kerusi yang dianggap “mudah menang”, manakala 60 kerusi lagi memerlukan kekuatan jentera yang digerakkan di peringkat akar umbi.

“Kita mungkin akan meletakkan lebih 100 kerusi (Parlimen) yang akan dipertandingkan, cuma 40 itu kita sasarkan menang dan mudah menang.

“Di samping itu, kita perlu menang lebih lagi antara 60 hingga 80 kerusi ke atas berdasarkan kerja kuat jentera parti,” katanya memetik laporan sebuah portal berita.

Nasruddin berkata demikian pada Konvesyen Pilihan Raya Pas Wilayah Persekutuan di Dewan Komuniti Bukit Damansara di Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, jumlah itu diyakini boleh dicapai Pas biarpun terpaksa berhadapan dengan pertembungan tiga penjuru.

“Tak semestinya apabila berlaku tiga penjuru, maka itu akan memberi kemenangan besar kepada UMNO dan BN, dia berbeza dengan perkembangan politik pada PRU lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Pas Wilayah Persekutuan menyenaraikan sembilan kerusi parlimen yang akan ditandinginya oleh parti berkenaan pada PRU 14.

Kerusi tersebut adalah Titiwangsa, Putrajaya, Labuan, Bandar Tun Razak, Wangsa Maju, Setiawangsa, Lembah Pantai, Batu dan Segambut.

Lembah Pantai, Wangsa Maju dan Batu dimiliki oleh PKR makakala Bandar Tun Razak pula milik bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Titiwangsa, Putrajaya, Labuan dan Setiawangsa pula milik Barisan Nasional (BN) dan Segambut milik DAP.

Oleh yang demikian, hampir kesemua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dijangka melibatkan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH) dan Pas. -MalaysiaGazette.