Home Nasional 70% daripada 1,182 tenaga kerja di Forest City diisi warga tempatan

70% daripada 1,182 tenaga kerja di Forest City diisi warga tempatan

Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada hari ini telah membincangkan dua isu yang menjadi pertanyaan ramai pihak iaitu Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Forest City di Johor.
Projek pembangunan Forest City di Johor

ISKANDAR PUTERI – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini diberitahu, sebanyak 70 peratus daripada 1,182 tenaga kerja di projek pembangunan Forest City di Gelang Patah, diisi oleh warga tempatan.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tenaga kerja terbabit meliputi pekerjaan di pelbagai sektor termasuk teknikal, pengurusan, kontraktor dan pembekal.

“Bagi bidang teknikal, bentuk pekerjaan yang dibuka adalah seperti penyelenggara, jurutera, jurureka, pegawai kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) serta eksekutif teknologi maklumat.

“Bagi bidang pengurusan pula, antara jawatan yang ditawarkan adalah eksekutif, pengurus, ketua jabatan, serta pengarah,” katanya pada penggulungan Persidangan DUN Johor di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata selain itu, 40 peratus kontraktor dan pembekal yang terlibat dalam projek tersebut adalah daripada syarikat tempatan termasuk kontraktor dan pembekal Bumiputera.

Menurutnya, perkara terbabit sekali gus membuktikan bahawa projek Forest City membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata projek Forest City turut mendatangkan manfaat pungutan pelbagai jenis cukai dan bayaran kepada kerajaan negeri.

“Berdasarkan rekod kelulusan Sijil Formula Unit Syer (SIFUS) bagi pembangunan fasa 1 di Pulau 1 sahaja, terdapat 24,227 petak di atas sembilan hak milik induk yang menghasilkan cukai tanah berjumlah RM2.5 juta.

“Di samping cukai tanah, kerajaan negeri juga dijangka akan menerima hasil bayaran pendaftaran hak milik yang besar. Untuk Fasa 1 Pulau 1 sahaja, hasil yang akan diterima adalah kira-kira RM72 juta, iaitu jumlah keseluruhan bagi bayaran sebanyak RM3,000 ke atas setiap satu daripada 24,227 petak dalam Fasa 1,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled selain itu, Forest City juga turut membantu usaha pengukuhan pendidikan anak-anak tempatan.

Beliau berkata setakat ini, sumbangan lebih RM695,000 disalurkan oleh pemaju Forest City untuk pembiayaan kelas tambahan 104 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2017 di lima sekolah rendah di kawasan berhampiran.

Kesemua sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Morni Pok, SK Tanjung Adang, SK Tiram Duku, SK Tanjung Kupang serta SK Pendas Laut, katanya.

— BERNAMA