KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bakal dirombak susulan tangkapan 16 pegawai kanan dan anggotanya yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Menurutnya, rombakan itu merupakan bukti keseriusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan tiada dalam kalangan pegawai dan anggota terlibat dan bersekongkol dengan sindiket jenayah.
“Kebelakangan ini kita dapati ada penglibatan pegawai dan anggota dalam membocorkan maklumat operasi dan sebagainya. Kita tidak boleh membiarkan keadaan ini berlarutan.
“Kita serius, bukan sahaja yang terlibat dengan dadah tetapi juga jenayah lain. Jika didapati ada yang terlibat atau berhubungan rapat dengan jenayah bersindiket, tindakan sama akan diambil,” katanya seperti dilaporkan sebuah laman portal.
Noor Rashid berkata demikian pada sidang media selepas majlis penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan di Padang Kawad Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh hari ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengesahkan tangkapan 16 pegawai kanan dan anggota polis menerusi Ops Kabaddi minggu lalu setelah dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah di negara ini. – MalaysiaGazette