Home Nasional Bukit Aman tahan 3 ahli sindiket pelaburan JJPTR di Petaling Jaya

Bukit Aman tahan 3 ahli sindiket pelaburan JJPTR di Petaling Jaya

Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menahan tiga ahli sindiket pelaburan JJ Poor To Rich (JJPTR) di Petaling Jaya, Selangor awal pagi ini.

Pengarah JSJK, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, seorang daripada mereka dikenali dengan nama Johnson Lee Choong Sen disyaki berperanan sebagai dalang utama skim pelaburan itu manakala dua yang ditahan berperanan sebagai orang kanan serta pembantu peribadi.

“Susulan siasatan dari beberapa siri serbuan yang telah dijalankan bagi melumpuhkan kegiatan penipuan skim pelaburan JJPTR pada 16 Mei jam 4.30 pagi, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman telah menahan tiga orang ahli sindiket tersebut di PJ,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, kesemua mereka yang ditahan adalah warga tempatan dan berumur antara 28 hingga 29 tahun.

Menurut Acryl Sani, hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap kesemua tahanan, polis merampas sebuah kereta Honda Accord, lima buah telefon bimbit, pelbagai dokumen berkaitan skim pelaburan JJPTR, buku cek, 11 keping kad debit dan kad kredit pelbagai bank dan wang tunai berjumlah RM20,936

Tambah beliau, kesemua tahan akan dibawa ke mahkamah majistret Klang pada petang ini untuk permohonan reman dan kes disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette