KUALA LUMPUR – Pemain import Kelantan, Mohammed Ghaddar mendedahkan faktor meninggalkan The Red Warriors (TRW) bagi menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada jendela perpindahan kedua yang bermula semalam.
Jelas pemain kelahiran Lubnan itu, tawaran daripada JDT itu adalah peluang terbaik untuknya mengembangkan karier selain demi masa depan keluarganya.
“Selepas separuh musim yang cukup hebat bersama pasukan Kelantan, dengan segala hormatnya saya mengumumkan pemergian saya dari pasukan ini.
“Saya akan tinggalkan pasukan Kelantan untuk teruskan karier bersama pasukan JDT,” katanya dalam laman sosial Instagram miliknya itu.
Sebelum itu, JDT mengesahkan bahawa Harimau Selatan telah mengadakan rundingan bersama Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) untuk mendapatkan khidmat Ghaddar.
Pengarah Sukannya, Alistair Edwards berkata, rundingan tersebut juga akan menjadi perpindahan paling tinggi dalam sejarah bola sepak tanah air.
Menurutnya, usaha itu juga bertujuan memberikan jalan kepada Kafa menyelesaikan beberapa isu kewangan mereka yang disifatkan sebagai situasi menang-menang antara kedua-dua pasukan.
“Ini adalah satu tawaran yang baik untuk kedua-dua kelab, di mana Kelantan akan dapat menyelesaikan beberapa isu-isu kewangan serta membeli beberapa pemain baru.
“JDT pula akan mendapat seorang pemain yang terbukti cemerlang dengan rekod prestasi yang sentiasa mahukan kejayaan,” katanya dipetik menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers. – MalaysiaGazette