JERMAN – Salah seorang doktor yang mengendalikan pembedahan penyerang Manchester United, Zlatan Ibrahimovic menolak dakwaan pemain berusia 35 tahun itu akan kembali ke Amarika Syarikat selepas bersara.
Volker Musahl menegaskan, pihaknya tidak akan menjadikan Ibrahimovic sebagai bahan ujikaji dengan melakukan penyelidikan terhadap lututnya.
“Ia adalah pembedahan biasa dan tiada sebarang komplikasi,” kata doktor kelahiran Jerman itu memberitahu akhbar di negara itu, Die Welt.
“Ibrahimovic mempunyai struktur tulang yang sangat baik dan lututnya adalah benar-benar dalam keadaan yang baik tetapi ia adalah sedikit keterlaluan untuk mengatakan dia akan menjadi objek penyelidikan.”
“Saya tidak boleh memberi ramalan yang tepat tentang berapa lama tempoh pemulihan akan memakan masa.
“Matlamat kami ialah untuk membantu atlet membuat kemunculan semula yang cepat dan selamat. Ibrahimovic agak tenang dengan cara pembedahan yang berjalan. Dia sangat kuat,” katanya.
Laporan media sebelum melaporkan doktor yang merawat Ibrahimovic sangat kagum dengan kekuatan lutut penyerang Manchester United itu.
Disebabkan lutut Ibrahimovic yang disifatkan ‘paling kuat pernah ditemui’, pasukan perubatan telah meminta untuk melakukan penyelidikan ke atasnya lututnya apabila dia bersara kelak.
Ibrahimovic menjalani pembedahan ligamen bulan lalu selepas mengalami kecederaan ketika United menang ke atas Anderlecht dalam saingan suku akhir Liga Europa.
Perlawanan itu hampir pasti menjadi perlawanan terakhir buat pemain berusia 35 tahun itu untuk United selepas dia telah menolak tawaran Jose Mourinho untuk melanjutkan kontrak apabila pulih daripada kecederaan. – MalaysiaGazette