KUALA LUMPUR – Pelakon Izara Aishah membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagram miliknya hari ini selepas rakaman video menampakkan dirinya berpakaian seksi tersebar di laman sosial.
Sejak malam tadi, video berdurasi dua puluh saat itu menunjukkan aksi Izara melangkah di karpet merah di sebuah acara dengan bahagian tepi baju terdedah hingga menampak sebahagian payudaranya.
“Saya ingin memohon maaf kepada keluarga, peminat dan mereka yang tersinggung dengan video berkenaan ketika saya menghadiri sebuah acara fesyen.
“Video itu sudah lama, ia bukannya (dirakam) di ABPBH 3.0. Video berkenaan disebarkan menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp, Sabtu lalu dan dikongsi di pelbagai medium laman sosial.
“Perkara ini berlaku beberapa minggu selepas saya dan Adib (merujuk kepada teman lelaki, Adib Khalid) memutuskan untuk berkahwin tahun ini,” luahnya.
Sekalipun malu dan sedih dengan kontroversi itu, Izara mengambil tanggungjawab penuh di atas kekhilafan yang terjadi.
“Saya bertanggungjawab di atas kecuaian ini dan memohon maaf kepada mereka yang terkesan dengan video itu.
“Saya anggap ini ujian Allah dan pengajaran untuk diri ini. Saya ada tanggungjawab kepada peminat dan akan memberi contoh yang baik untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette